[size=0.8]Zuhainy Zulkiffli - September 11, 2021 @ 3:27pm[email protected]
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) ketika hadir sidang media berkaitan isu semasa situasi COVID-19 di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar, Pulau Pinang hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan tiga juta remaja di negara ini akan menerima vaksin COVID-19 sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.
Sasaran melengkapkan pemberian vaksin kepada golongan berkenaan adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) KKM.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemberian vaksin kepada remaja akan cuba diselesaikan sebelum pembukaan sekolah pada Januari tahun depan.
"Bagi pembukaan sekolah tahun ini, esok Menteri Pendidikan akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat.
"Sejajar dengan pengumuman itu, program vaksinasi akan turut dijalankan serentak," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Khairy melakukan lawatan kerja di Pulau Pinang bagi membincangkan strategi kesihatan awam dan vaksinasi di negeri itu.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Menurut Khairy, proses vaksinasi kepada remaja di Pulau Pinang dijangka bermula hujung bulan ini.
Katanya, seramai 130,000 remaja di negeri ini akan menerima vaksin dan proses pemberian dilakukan di sekolah.
"Murid akan dipanggil mengikut keutamaan yang kita kenal pasti dan mereka akan hadir ke sekolah dengan ditemani ibu bapa masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin.
"Jadual bagi pemberian vaksin kepada remaja di negeri lain akan dimaklumkan minggu depan," katanya lagi.