[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 11, 2021 @ 10:51am[email protected]
Bas persiaran yang ditahan kerana disyaki membawa lapan beg mengandungi 150 kg daun ketum. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
SUNGAI PETANI: Taktik licik penyeludup daun ketum membawa 150 kilogram (kg) bahan terlarang itu menggunakan bas persiaran berjaya dipatahkan selepas polis merampas lapan beg berisi daun itu di sini, malam tadi.
Difahamkan, bas persiaran berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar ke Kuantan, Pahang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman@Abdul Rahim, berkata polis berjaya mengesan bas itu sebelum ditahan di Jalan Badlishah, Village Mall, jam 11.30 malam.
Katanya, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah.
"Hasil pemeriksaan dalam ruang simpanan barang di bawah bas itu menemui lapan beg baju mengandungi 606 plastik berisi 150kg daun ketum.
"Turut dirampas dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1.6 gram (g) dan satu paket dadah jenis heroin seberat 14g. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM15,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, susulan itu polis menahan pemandu bas lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 37 tahun untuk membantu siasatan.
"Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan kedua-dua suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lalu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39A (2) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) ADB 1952," katanya.