|
MIRI: Padah mengugut hendak membakar rumah dan merogol jirannya, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.
Peter Gumbang, 34, dari Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membakar rumah dan merogol Vannessa Ezzra Sulang, 24, dengan niat hendak menakutkan wanita terbabit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 14 Mei lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini.
Hasil siasatan lanjut polis mendapati tertuduh yang tinggal berhadapan dengan rumah pengadu telah bertindak mengamuk dan menjerit sambil mengugut hendak membakar rumah dan merogol pengadu serta adik sekiranya mereka enggan keluar.
Tertuduh juga mengaku semasa melakukan kesalahan itu dia dalam keadaan mabuk.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|
|