View: 653|Reply: 0
|
[Sabah]
Nikmat kemerdekaan hasil pengorbanan anggota keselamatan terdahulu
[Copy link]
|
|
KOTA KINABALU: Mengenang kepayahan dan kesengsaraan anggota keselamatan pada waktu dahulu yang bertugas mempertahankan keselamatan negara, sukar untuk dipercayai negara berjaya mencapai kemerdekaan.
Namun bagi pesara polis Mohd. Daud Kalakhan, 75, pengalaman lalu tidak mudah dilupakan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan pasukan keselamatan terdahulu.
Menurutnya, pengorbanan anggota polis yang berjuang mempertahankan negara perlu dihargai dan diberi pengiktirafan sewajarnya.
"Ramai dalam kalangan bekas anggota polis yang hidup serba kekurangan dan daif, namun tiada siapa yang mendengar rintihan hati mereka.
"Hargailah perjuangan kami yang berbakti kepada negara suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Beliau sempat menceritakan pelbagai pengalaman berharga sepanjang bertugas sebagai anggota polis bermula sekitar 1962 ketika usia masih belasan tahun.
Menurutnya, jika diimbau kembali, pada usia semuda itu, dirinya sudah meninggalkan keluarga dan bertempur dalam hutan mempertahankan keselamatan negara.
Katanya, tidur di dalam hutan sambil memeluk senjata api sudah menjadi rutin semasa berkawal untuk mengintip pergerakan musuh.
Antara detik paling menyayat hati yang masih segar dalam ingatannya, apabila dua rakan sepasukan yang ditugaskan melawan lanun (mundu) di Lahad Datu pada hujung 1962 terbunuh dan anggota badan rakannya dikerat.
Sehingga kini beliau masih mengingati peristiwa hitam itu dan menganggap tindakan anggota mundu terbabit sememangnya amat kejam.
Selain itu, beliau turut menceritakan pengalaman semasa bertugas di sempadan Sungai Nyamuk Indonesia, apabila kumpulannya ditembak dalam keadaan peluru menghujani di hadapan mata.
"Saya nampak peluru macam air hujan dan ketika itu, nyawa bagai di hujung tanduk kerana kedudukan kami begitu hampir dengan pos kawalan tentera Indonesia.
"Pada waktu itu, saya bertugas dalam pasukan Mobile Force Platun 5 semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia di Tawau pada 1963.
"Darurat turut diisytiharkan di Tawau pada masa itu kerana Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) sudah mula menceroboh masuk ke daerah berkenaan," katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman semasa ditugaskan di kawasan hutan di Mentadak Lama Lahad Datu apabila pasukan Mobile Force Platun 5 bertempur dengan tentera Indonesia.
Menurutnya, dalam pertempuran itu, tiada anggota polis yang cedera sebaliknya, dua tentera Indonesia tumpas dan selebihnya melarikan diri.
Itulah antara peristiwa yang dialami dan sentiasa dalam ingatan dirinya sepanjang memikul tugas sebagai anggota polis.
Pengalaman berharga yang dilaluinya tidak akan dilupakan dan sentiasa diingati terutamanya setiap kali negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan.
Bagi seorang pesara polis seperti dirinya, hanya pengalaman berharga yang dapat dikongsikan kepada anak-anak generasi muda bagi menghargai segala pengorbanan para perajurit negara yang banyak berkorban dan terkorban demi sebuah kemerdekaan.
Oleh
Siti Aisyah Narudin
Kredit: Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|