CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 608|Reply: 0

[Sabah] Jauh Ketinggalan, Rakyat Sabah Tak Rasa ‘Merdeka’ Yang Sama

[Copy link]
Post time 31-8-2021 02:38 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
KOTA KINABALU: Apabila Yami Baga menonton televisyen, beliau merasa sedikit terkilan melihat iklan Hari Merdeka yang menayangkan orang ramai gembira menyambut banyak kemajuan dalam kehidupan mereka sejak Merdeka.

Sekalipun bangga dengan kemajuan Malaysia, Yami dan jiran-jirannya tidak dapat berkongsi kegembiraan seperti yang dilihat di kaca TV.

“Semua orang kampung saya tanya, bila nak ‘merdeka’ daripada masalah air,” katanya kepada FMT.

“Kami saksikan Kuala Lumpur bina menara berkembar, sementara di sini, kami masih bergantung kepada air sungai yang perlu kami kumpul setiap hari.”

Kampung lereng bukit didiami Yami, Kampung Kionsom terletak di Inanam, Kota Kinabalu. Mereka tidak pernah menikmati bekalan air yang selamat dan dirawat. Penduduknya bergantung kepada sistem graviti air yang dibina atas inisiatif sendiri pada 1981.

Sistem ini membawa air daripada sungai dan mata air ke dalam tangki yang terletak tinggi daripada kampung tanpa menggunakan pam. Ini adalah satu-satunya sumber air untuk semua keperluan harian mereka.

Tidak jauh dari kampung itu, di sebuah kejiranan berpagar di kawasan pembangunan moden Bandar Sierra, Telipok, pensyarah Tony Paridi Bagang berkata, mereka berdepan gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan.

Situasinya begitu buruk sehingga mendorong penduduk yang terdesak membina sistem graviti air mereka sendiri.

Bagang, yang bekerja di Universiti Teknologi Mara Sabah, berkata Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding Semenanjung.

Di daerah Kota Marudu, Nurziati Solboy berkata, lebih baik jangan bertanya kepada penduduk kampungnya, Kampung Sungai Magandai, bagaimana mereka meraikan Merdeka.

“Penduduk kampung di sini akan jawab, ‘Merdeka apa?’ Tiada perubahan di kampung kami,” katanya.

Masalah terbesar bagi mereka adalah satu-satunya jalan ke kampung menjadi berlumpur ketika hujan lebat. Penduduk kampung telah meminta pihak berkuasa menurap jalan tersebut, tetapi tidak ditunaikan.

Kampung ini juga bergantung kepada panel solar untuk mendapatkan tenaga, sistem graviti untuk air, dan bertahan tanpa akses Internet.

“Jujurnya, kami tak dapat rasa kemeriahan Merdeka dengan keadaan di kampung kami. Hari Merdeka sama saja seperti hari-hari lain,” kata Nurziati.

“Kami sentiasa harap keajaiban daripada kerajaan, tetapi hampir putus asa.”

Ahli ekonomi James Alin memberitahu FMT, tidak tepat untuk mengatakan tiada sebarang pembangunan bagi Sabah sejak menyertai Persekutuan pada 1963.

“Terdapat banyak perubahan, tetapi kita semua perlu maju pada kadar sama sebagai sebuah negara, dan ini tidak berlaku,” katanya.

Tambahnya, jurang antara Kota Kinabalu dan kawasan luar bandar, dan selat antara Borneo dan Semenanjung sangat ketara.

“Kanak-kanak di tempat lain perolehi 12 tahun persekolahan, tetapi di Sabah, hanya lapan. Jadi, ada ramai kanak-kanak yang buta huruf kerana mereka tidak cukup bersekolah,” katanya.

Ahli ekonomi Firdausi Suffian berkata, Sabah kaya “tetapi terlalu ramai rakyatnya masih miskin”.

Tambahnya, tahap kemiskinan di Sabah tetap lebih tinggi daripada purata nasional.

Statistik kerajaan menunjukkan, peratusan isi rumah di Sabah miskin mutlak meningkat daripada hanya bawah 20% pada 2019 kepada lebih 25% tahun lepas.

Alin berkata, Malaysia sudah separuh jalan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, dengan pendapatan per kapita USD20,000 (RM84,000) tetapi Sabah masih jauh ketinggalan, dengan jurang semakin melebar.

“Purata pendapatan isi rumah di Sabah sekitar USD5,000 (RM20,000). Namun, bukan semua orang dapat meraih sebanyak itu, tambahan penduduk kampung di Kionsom,” katanya.

“Inilah sebabnya, jika tanya rakyat biasa Sabah sama ada mereka meraikan Merdeka, mereka tidak akan beri jawapan yang lurus.”

Sekalipun dengan kualiti kehidupan yang rendah di Sabah, Bagang menegaskan mereka bersyukur kerana terlepas daripada cengkaman penjajah masa lalu.

“Mereka bagaimanapun mengharapkan sesuatu lebih baik dengan pertukaran kerajaan,” katanya.

“Hari Merdeka sepatutnya masa kita meraikan apa yang kerajaan lakukan untuk rakyat seluruh negara.”

Sumber: FMT
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-12-2024 09:28 PM GMT+8 , Processed in 0.390553 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list