|
Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak rela tercicir mata lagi apabila pasukannya bertandang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) malam esok.
Sekiranya TFC gagal mengutip mata penuh bertemu skuad The City Boys, peluang buat skuad itu untuk menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua sekali gus layak secara automatik ke Piala AFC musim depan pasti lebih sukar kerana perlu bersaing dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Penang FC dan Selangor FC.
Bagaimanapun skuad Penyu itu bakal memiliki 'senjata' baharu apabila bekas kaptenya, Lee Tuck dijangka bakal membuat penampilan pertamanya musim ini selepas dipinjamkan daripada Sri Pahang FC sejak Mei lalu.
"Kita pergi ke tempat lawan sudah tentu untuk memburu tiga mata penuh bagi mengelak tercicir mata lagi, ini yang paling penting dengan berbaki tiga perlawanan lagi.
"Tiada yang luar biasa, sebaliknya pemain bakal diberaksi seperti biasa sebagaimana yang dirancang, tapi saya ingatkan pemain supaya dapat elakkan daripada tekanan sebaliknya mereka perlu 'enjoy football', sebab dalam bola sepak tiada apa yang perlu kita takut ataupun tertekan.
"Tekanan dalam permainan itu adalah sesuatu yang normal, namun bagi seseorang pemain yang bagus, mereka bijak menyerap tekanan sekali gus mampu beraksi dengan baik.
"Mengenai Lee Tuck, dia sudah menyertai latihan bersama pasukan sejak minggu lalu, mungkin dia akan beraksi, kita lihat dulu macam mana, lagipun kita ada beberapa pilihan pemain import.
"Tapi ketua pasukan, Carli De Murga mungkin terlepas aksi menentang KL City FC kerana betisnya masih belum pulih sepenuhnya, ketiadaan pemain itu tidak begitu menggusarkan malah tiada rombakan besar kerana bagi saya corak permainan pasukan tiada masalah.
"Lagipun mereka beraksi seperti biasa, menang ataupun kalah serta seri, corak persembahan pemain baik, itu yang saya bangga dengan mereka sehingga kini berada di kedudukan kedua teratas liga," katanya.
HMetro
|
|