Operasi Pematuhan SOP COVID-19 di bandar Limbang.
LIMBANG: Sebanyak empat notis kompaun dikeluarkan dan 150 premis perniagaan diperiksa pada operasi Pematuhan SOP COVID-19 (Sektor Ekonomi) besar-besaran di bandar ini pada 24 Ogos dan 26 Ogos lepas.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak, Raphael Engkayau berkata, notis tersebut dikeluarkan atas kesalahan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 (Sektor Ekonomi) melibatkan tiga kesalahan tidak mengimbas MySejahtera dan satu kesalahan menjalankan perkhidmatan pencucian muka.
“Setiap kesalahan telah dikeluarkan notis dengan nilai RM1,500 dan diberikan peluang memohon diskaun 50 peratus jika dibayar dalam tempoh tujuh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya operasi Pematuhan SOP COVID-19 dianjurkan Pasukan Seksyen Inspektorat Dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang diketuainya selama dua hari.
Tegasnya walaupun sibuk dengan kawalan dan pencegahan penyakit COVID-19, tugasan utama Kementerian Kesihatan ialah aspek penguatkuasaan Pematuhan SOP COVID-19 (Sektor Ekonomi) di tempat awam tetap dilaksanakan.
“Pematuhan SOP COVID-19 (Sektor Ekonomi) dilaksanakan secara bersama membabitkan 20 penguatkuasa dari Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang dan Pejabat Kesihatan Daerah Lawas.
“Turut serta dalam Ops Patuh Bersepadu berkenaan ialah 15 pegawai penguatkuasa dari polis Limbang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) B Limbang (sembilan orang) dan Majlis Daerah (MDL) (lapan orang) .
Raphael turut memberitahu pematuhan SOP COVID-19 (Sektor Ekonomi) di Bandar Limbang adalah tinggi dan terbaik secara keluruhannya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian berkata, Dr Norliza Jusoh berkata semua notis kompaun perlu dibayar dalam tempoh 14 hari. “Kegagalan menjelaskan, mereka yang berkenaan boleh didakwa di mahkamah.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua dua nya sekali,”ujarnya.
Dr Norliza menasihatkan setiap pemilik premis perniagaan untuk mempastikan mereka mendaftar kehadiran staf dan pekerja serta pelanggan mereka dengan mengimbas MySejahtera atau menulis dalam buku rekod kehadiran.
Beliau turut berterima kasih di atas kehadiran Pasukan Seksyen Inspektorat Dan Perundangan Negeri Sarawak yang diketuai Rephael selain penyertaan agensi polis Limbang, MDL dan KPDNHEP Limbang.
Beliau berharap kerjasama dan operasi antara agensi akan dapat diteruskan pada masa depan.
utusanborneo.com.my/2021/08/28
|