|
10 PATI cuba loloskan diri ke Sarawak diusir balik
KUCHING: Tentera Darat(TD) mengusir 10 Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) wargenagara negara yang cuba meloloskan diri ke Sarawak dalam tiga tangkapan berasingan Op Benteng semalam.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan hari ini, berkata, dalam pengusiran pertama, lima individu dipercayai PATI dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia di lorong tikus berhampiran batu sempadan di Biawak, Lundu, jam 2.45 petang.
"Setelah ditahan dan disoal siasat, lima PATI termasuk seorang wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyatakan tujuan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan.
"Pengusiran kedua dilakukan jam 7.15 malam,tiga individu yang mencurigakan
dikesan sedang berjalan kaki dari sempadan untuk memasuki kawasan Malaysia melalui kawasan ladang Tetangga Akrab, Balai Ringin,"katanya.
Katanya,setelah ditahan dan disoal siasat mendapati dua individu lelaki tersebut adalah PATI yang cuba memasuki negara Malaysia secara haram.
"Pengusiran PATI ketiga pula dilakukan berlaku jam 9.45 malam, pasukan yang sedang melaksanakan serang hendap berjaya menahan dua individu dipercayai PATI yang telah memasuki sempadan Malaysia dari Indonesia di Jalan Ensawang, Lubok Antu.
"Setelah ditahan dan disoal siasat, PATI tersebut menyatakan ingin mengutip hasil kebun di Malaysia,"katanya.
Katanya,kesemua PATI ditahan dan diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan Polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.
"Anggota Tentera Darat khususnya di Sarawak amat komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan setiap masa.
"Tentera Darat Malaysia senantiasa bersedia mengawal sebilang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,"katanya.
|
|