|
LAHAD DATU: Polis berjaya merampas lebih 36,000 batang rokok disyaki diseludup masuk dari negara jiran dalam satu serbuan di hadapan Pasar Ikan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata serbuan itu dilakukan menerusi Op Kontraban oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.
“Dalam kejadian itu, pasukan polis mengesan dua bot yang berlabuh di tepi Ko Nelayan di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun berada di dalam salah sebuah bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebanyak 36,980 batang rokok tidak mempunyai pengesahan bercukai daripada Jabatan Kastam.
“Rokok berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di sekitar daerah Lahad Datu dan berdekatan.
“Suspek dan semua barang rampasan termasuk rokok dan dua buah bot yang dianggarkan bernilai RM30,000 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,katanya.
Rohan berkata, suspek terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
“Kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak kurang 10 ganda nilai cukai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi atau tidak lebih daripada 20 kali ganda.
“Suspek juga boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Hamzah Sanudin
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|