|
KENINGAU: Seorang lelaki warga asing meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dalam kejadian di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau di sini.
Mangsa yang berumur 57 tahun itu ditemukan rebah ketika berehat di bawah pokok di luar PPV berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebelum kejadian lelaki berkenaan yang tinggal di Kampung Pampang di sini datang ke PPV itu dengan berjalan kaki dari rumahnya.
Menurutnya, tidak lama selepas tiba di kawasan PPV berkenaan, mangsa dilaporkan singgah di bawah pokok untuk berehat.
"Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.
"Mangsa dikatakan mengadu sakit di dada namun tetap meneruskan perjalanannya sehingga sampai di luar perkarangan PPV berkenaan.
"Semasa duduk berehat, mangsa disyaki mengalami serangan jantung sebelum anggota polis yang bertugas menyedari keadaan mangsa dan bertindak menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang merawatnya sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk tindakan selanjutnya.
Pihaknya juga masih menunggu laporan bedah siasat mangsa dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial yang mendakwa mangsa meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk menerima vaksin.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|