|
London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola antara beberapa pengurus di Liga Perdana Inggeris yang mendesak pemain untuk mendapatkan vaksin bagi membendung Covid-19.
Jumlah pemain yang diuji positif dalam saingan Liga Perdana meningkat baru-baru ini dengan 11 kes positif dilaporkan pada Isnin lalu.
Beberapa rakan pengurus, Mikel Arteta, Nuno Espirito Santo, Steve Bruce dan Graham Potter turut meminta pemain mendapatkan vaksin.
Namun Guardiola berkata beliau "bukan orang yang tepat" untuk meyakinkan mereka.
"Saya rasa doktor, jabatan perubatan boleh melakukannya, jadi pemain harus tahu bahawa itu akan melindungi mereka, keluarga dan masyarakat yang lain.
"Tapi tidak ada yang mewajibkan mereka melakukannya," kata pengendali dari Sepanyol itu yang kehilangan ibunya selepas dijangkiti Covid-19 pada April 2020.
"Saya rasa cara terbaik adalah menjelaskan kepada mereka kelebihan mengambil vaksin atau tidak buat diri sendiri, keluarga dan orang lain yang bekerja di sini dan di jalanan. Selepas itu semua orang akan tentukan.
"Tapi ketika semua sainstis, doktor, pakar perubatan berkata, satu-satunya jalan untuk menangani pandemik yang sudah dua tahun melanda dunia adalah dengan diberi vaksin, saya rasa mereka harus mempertimbangkannya."
Semalam pengurus Arsenal, Arteta mengatakan beliau terkejut apabila perlawanan pembukaan Liga Perdana antara Gunners dan Brentford diteruskan biarpun terdapat beberapa kes di kelab itu.
Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette dan Runar Alex Runarsson kesemua mereka terlepas peluang beraksi ketika Arsenal melakarkan kemenangan 2-0 selepas diuji positif sementara Willian kini dalam proses pemulihan selepas turut positif Covid-19.
HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|