|
London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui terkejut apabila anak buahnya dipaksa beraksi juga pada aksi pertama Liga Perdana bertemu Brentford minggu lalu di sebalik terdapat kes positif Covid-19 membabitkan empat pemainnya.
Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Willian dan penjaga gol simpanan, Alex Runarsson terlepas beraksi pada perlawanan itu.
Ujian tambahan dilakukan ketika hari perlawanan yang menyaksikan Gunners tewas 0-2 kepada pendatang baharu Liga Perdana itu.
Arteta berasa pelik mengapa perlawanan itu tidak ditangguhkan sepertimana dilakukan pada musim lalu.
Perlawanan membabitkan Manchester City, Fulham, Aston Villa dan Newcastle kesemuanya ditangguhkan pada kempen 2020/2021 berikutan terdapat kes Covid-19.
"Saya terkejut tetapi pihak yang berkenaan memutuskan keputusan paling baik adalah untuk meneruskan perlawanan," kata Arteta pada sidang media menjelang perlawanan bertemu Chelsea di Emirates, Ahad ini.
"Kami melakukan apa yang perlu dilakukan melalui kelab, doktor dan risiko yang dapat dilihat."
Aubameyang dan Willian sedang berusaha untuk kembali beraksi apabila bertemu Chelsea namun Lacazette dan Runarsson kekal tidak dapat diturunkan.
Arteta menambah, hampir kebanyakan pemain skuadnya sudah lengkap dua dos vaksin tetapi keputusan sama ada mereka mahu divaksin atau tidak adalah keputusan peribadi.
HMetro
|
|