|
Kuala Lumpur: Sebaik dilantik sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan sudah meletakkan sasaran atau misi iaitu mahu memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak berhadapan sebarang masalah seterusnya dapat diselesaikan seperti dirancang.
Walaupun dilihat cita-cita itu nampak mudah dilaksanakan, hakikatnya situasi terbabit cukup mencabar terutama perlu berdepan penangguhan perlawanan selain pandemik Covid-19 turut menyerang pemain dan pegawai pasukan hingga merencatkan saingan Liga M.
Ghani berkata, sebaik diumumkan sebagai presiden MFL, sudah tentu cita-citanya mahu mengangkat martabat badan pengurusan liga itu pada tahap lebih tinggi pada masa akan datang.
"Dalam keadaan pandemik, saya harus pastikan Liga M dapat dijalankan sebaik mungkin dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang diharungi MFL seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Paling penting adalah supaya Liga M dan Piala Malaysia pada musim ini dapat dihabiskan dan untuk musim 2022, kita mahu Piala FA dapat kembali dimainkan seperti sebelum ini. "Saya juga bertanggungjawab dalam menentukan sumber kewangan iaitu penajaan dapat diperoleh untuk kita jalankan liga musim 2022. Saya akan berusaha keras seperti presiden terdahulu," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu badan induk itu hanya akan diumumkan selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada Isnin depan.
Ab Ghani berkata, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya dua nama bakal dimuktamadkan sekali gus berperanan melaksanakan tugas pengurusan badan pengelola liga Malaysia itu. Walaupun terdapat desas-desus nama terbabit kemungkinan perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA, Saifuddin Abu Bakar dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, Ghani lebih mengambil sikap berdiam diri seterusnya menunggu saja keputusan terbabit diumumkan kelak.
"Ketika ini saya turut menjadi CEO interim untuk menjalankan tugas harian MFL tanpa henti semasa operasi liga dijalankan. Ada beberapa nama yang akan dibincangkan pada mesyuarat, Isnin nanti.
"Keputusan Ahli Lembaga Pengarah yang penting (dalam tentukan CEO baharu). Tunggulah saya akan umumkan nanti," katanya.
HMetro
|
|