|
Johor Bahru: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menafikan pasukan itu membuat tawaran kepada bekas bintang Manchester United, Radamel Falcao.
Pengarah Sukan JDT, Martin Priest menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers mengesahkan kelab berkenaan tidak pernah membuat tawaran kepada pemain Galatasaray itu.
"Berita berkenaan adalah khabar angin semata-mata. JDT tidak berada dalam kedudukan kewangan kukuh untuk menandatangani pemain `marquee' bertaraf antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.
"Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain sedemikian. Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan," kata Priest.
Spekulasi itu tersebar sejak beberapa hari lalu selepas portal sukan Turki, Fotomac menerusi hantaran di laman Twitter mereka mendakwa JDT memohon dengan kelab Turki, Galatasaray untuk mendapatkan penyerang Colombia itu.
Untuk rekod, JDT pernah mengikat beberapa pemain berstatus bintang apabila membawa masuk pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza, pemain antarabangsa Itali, Simone Del Nero dan pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar.
HMetro
|
|