View: 840|Reply: 1
|
Pelantikan Ab Ghani diterima baik
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Rakan kongsi Liga Malaysia menerima peletakan jawatan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin dengan hati terbuka dan menyatakan untuk terus memberikan sokongan kepada MFL di bawah teraju baharu Datuk Ab Ghani Hassan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali menganggap keputusan Hamidin melepaskan jawatan adalah wajar untuk beliau memberikan fokus 100 peratus kepada tugasnya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Jelasnya, FAM dan MFL adalah dua skop entiti berbeza dan beliau percaya semua pihak memahami bukan mudah untuk menguruskan dua tugas dalam satu masa terutamanya dalam tempoh pandemik ini.
"Saya memahami apabila Datuk Hamidin buat keputusan untuk letak jawatan kerana kita tahu beliau ingin memberikan sepenuh perhatian kepada bola sepak negara.
''Sementara Datuk Ab Ghani boleh memberikan tumpuan terhadap bagaimana mahu menjadikan liga kita lebih begerak dengan lebih proaktif pada masa akan datang.
"Harapan saya ialah beliau (Ghani) dapat membantu kelab-kelab dalam soal penswastaan serta bersama-sama mencari jalan bagi menjana pendapatan di waktu pandemik ini," katanya.
Ghani yang sebelum ini memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif MFL dilantik sebagai presiden menggantikan Hamidin yang meletak jawatan pada 12 Ogos lalu di mana pelantikan terbabit dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil daripada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam.
CEO Terengganu FC, Ab Rasid Bin Jusoh pula menyifatkan Ghani yang sebelum ini menjawat jawatan CEO MFL mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Hamidin selepas melihat bagaimana beliau memastikan kelancaran Liga Malaysia khususnya pada musim ini.
"Kita sedia maklum beliau sememangnya berkebolehan berdasarkan tugas beliau selaku CEO sebelum ini dan bagaimana beliau dan rakan sekerja menyakinkan pihak tertentu untuk memastikan liga terus berjalan.
"Itu kekuatan yang saya dapat lihat ada pada beliau dan saya percaya gandingan beliau bersama CEO baharu nanti akan lebih baik berlandaskan pelan yang betul bagi menjamin kecemerlangan sukan bola sepak ini," kata Rasid.
Untuk rekod, Ghani sebelum ini adalah bekas pemain Negeri Sembilan dan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Hamidin.
HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
AB Ghani teraju baharu MFL. |
|
|
|
|
|
|
| |
|