Simpan tiga bakakuk, dua individu ditahan
RAMPAS: Sahimi menunjukkan bakakuk yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sini.
KOTA BELUD: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga senjata api buatan sendiri (bakakuk) serta peluru dalam dua serbuan berasingan sekitar sini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Sahimi Husin berkata kedua-dua suspek masing-masing berumur 43 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di Kampung Tamalang Taginambur dan Kampung Tindakon.
“Semasa ditahan suspek pertama mengakui bakakuk itu ditemukan oleh ayahnya di kebun getah beberapa tahun lalu.
“Hasil soal siasat bagi tahanan kedua pula mendapati senapang terbabit dibeli dengan harga RM500 daripada rakannya dua tahun lalu.
"Kedua-dua mereka mengaku menyimpan senapang itu untuk tujuan memburu dan siasatan masih dijalankan,” katanya semasa dihubungi semalam.
Menurutnya kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Saya juga menyeru kepada semua penduduk kampung khususnya di daerah ini supaya tampil untuk memberi maklumat kepada pihak polis jika mengetahui ada sesiapa yang menyimpan atau memiliki senjata api buatan sendiri.
“Polis akan sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah atau tempat yang dipercayai ada menyimpan senjata api buatan sendiri demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/17
|