Sabah benarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi
KOTA KINABALU: Lebih banyak sektor ekonomi di negeri ini dibenarkan beroperasi selepas kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kelonggaran kepada beberapa premis perniagaan yang berkaitan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kelonggaran itu mula berkuat kuasa untuk semua sektor yang diberi kebenaran. Menurutnya, antara perniagaan yang dibenar beroperasi termasuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai peralatan sukan, kedai alat permainan, kedai permaidani, kedai barangan terpakai, dan kedai barang fotografi.
Selain itu katanya, turut dibenarkan buka kedai tembakau, kedai peralatan 'outdoor', kedai antik, kedai kraftangan, dan cenderahati.
"Bagaimanapun, kesemua sektor ekonomi yang dibenarkan buka harus memastikan semua pelanggan dan pekerja sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan perlu melengkapkan vaksinasi dalam tempoh sebulan iaitu sehingga 15 September ini.
"Arahan yang sama turut terpakai bagi sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan buka sebelum ini termasuk pasar raya, restoran, kedai gunting rambut dan kedai buku atau alat tulis," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu jelasnya, satu kluster baharu dikesan membabitkan anggota keselamatan di Lahad Datu.
Menurutnya, kes indeks Kluster Cenderawasih dikesan melalui saringan bergejala dan sehingga kini, lapan kes positif dikesan dalam kluster berkenaan, manakala, 27 daripada 35 kontak rapat yang disaring masih menunggu keputusan.
Katanya, jangkitan menular apabila kes indeks melakukan aktiviti sukan bersama rakan yang lain.
"Kes kematian di Sabah pada 16 Ogos direkodkan sebanyak 15 kes masing-masing lima kes di Kota Kinabalu dan Tawau manakala, satu kes di Sandakan, Tuaran, Penampang, Keningau, dan Sipitang," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/17
|