|
Kuantan: Sri Pahang FC yang memiliki kelebihan beraksi tiga daripada lima perlawanan di laman sendiri diminta memanfaatkannya.
Ia disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Datuk Mohammed Suffian Awang yang mahu skuad kendalian Dollah Salleh mengutip sembilan mata daripada tiga perlawanan itu.
"Selain itu, baki dua perlawanan di tempat lawan pula tidak keciciran mata untuk meletakkan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
"Oleh itu saya harap kelebihan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya ketika semua pasukan mahukan kemenangan pada baki perlawanan terbabit.
"Namun, bukan sahaja kualiti permainan yang diberikan keutamaan, malah persediaan daripada segi mental juga perlu untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik," katanya.
Justeru, Mohammed Suffian berkata, barisan pemain Sri Pahang perlu bekerja keras dan tampil bertenaga untuk mencapai misi berkenaan.
Katanya, kerjasama dan semangat kerja berpasukan diharap lebih padu dalam usaha mencatat keputusan positif.
"Pada masa sama, dalam situasi sekarang, kedudukan Sri Pahang belum lagi selamat kerana pasukan seperti Melaka United, Perak FC dan UiTM boleh memintas jika pasukan tidak beraksi baik," katanya.
Selepas 17 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan dengan 17 mata ketika Melaka United pula mengutip 16 mata, Perak FC (13 mata) dan UiTM FC (lima mata).
Dengan kedudukan itu, skuad kendalian Dollah Salleh perlu mengutip seberapa banyak mata untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.
HMetro
|
|