REAKSI Ozil (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Agensi
London: Mesut Ozil akhirnya menjaringkan gol pertama dalam tempoh 18 bulan dan meraikannya dengan penuh kegembiraan semalam.
Bekas bintang Arsenal yang kini beraksi di Turki menggegar gawang lawan ketika menentang Adana Demirspor.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu menolak bola masuk dari jarak dekat sejurus babak kedua bermula sekali gus jaringan kemenangan Fenerbahce.
Dia kemudiannya dikerumuni rakan sepasukan dan kepuasan jelas tergambar di raut wajah bekas pemain Jerman itu.
Kali terakhir Ozil menjaringkan gol ketika beraksi bersama Arsenal pada Februari 2020 ketika menewaskan Newcastle 4-0 dalam aksi Liga Perdana di tempat sendiri yang juga gol tunggalnya musim itu sebelum meninggalkan Emirates sebelas bulan kemudian.
Ozil menyertai Fenerbahce pada Januari lalu dengan perpindahan percuma susulan kempen mengecewakan bersama Gunners namun turut berdepan permulaan hambar di Turki.
Dia hanya tampil 11 perlawanan pada babak kedua musim lalu dan hanya melakukan satu bantuan gol sepanjang tempoh itu.
Ozil turut tersisih hampir dua bulan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika kelabnya seri menentang Antalyaspor.