Bukan masa berpolitik tetapi tangani COVID-19
Abang Johari melepaskan peserta Konvoi Jalur Gemilang di pekarangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
KUCHING: Semua pihak perlu terus menggemblengkan masa dan tenaga untuk menangani ancaman COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sekarang bukan masa untuk berpolitik sebaliknya memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
“Ketika negeri dan negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemik, tiada yang lebih penting daripada negara dan negeri ditadbir oleh kerajaan yang stabil. Alhamdullilah, Sarawak mempunyai kerajaan yang agak kuat di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Namun di peringkat Persekutuan keadaan agak membimbangkan akibat perebutan kuasa dan pertelingkahan antara parti-parti politik,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak 2021 di sini, hari ini.
Meskipun demikian, Abang Johari memberi jaminan kerajaan GPS tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa melaksanakan pelbagai tindakan membendung dan mengawal penularan COVID-19 ketika ini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menetapkan dasar utama untuk memerangi COVID-19 dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat yang layak menerima.
“Syukur, Sarawak sudah hampir mencapai imuniti kelompok mendahului negeri-negeri lain dengan pemberian vaksin dari bandar hingga ke pedalaman nun jauh berhampiran perbatasan, seperti di Long Singut, Ulu Baleh.
“Bagaimanapun, perjuangan kita belum lagi selesai dan masih berterusan. Kita di peringkat kerajaan negeri akan sentiasa memandang serius betapa perlu usaha keras digemblengkan dari semasa ke semasa sehingga situasi dalam negeri kembali normal pada masa mendatang,” ujarnya.
Kerajaan GPS katanya, juga melihat kepada keperluan jangka panjang untuk mempastikan ekonomi negeri Sarawak terus berada pada landasan yang betul menuju ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Kerajaan Negeri telah merangka strategi pemulihan ekonomi melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan saiz ekonomi Sarawak berkembang daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM 282 bilion pada 2030.
“Saya bangga mengatakan bahawa kita adalah negeri pertama yang menghasilkan rancangan pemulihan ini,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan sesi pelepasan Konvoi Jalur Gemilang yang disertai 22 buah kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Swady Guliling.
utusanborneo.com.my/2021/08/16
|