Sarawak tidak berputus asa perangi Covid-19
KUCHING: Sarawak tidak akan menyerah kalah dan melaksanakan pelbagai tindakan dalam membendung dan mengawal penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, di sebalik naik turun statistik penularan Covid-19 ketika ini, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa melaksanakan pelbagai tindakan membendung dan mengawal penularan dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Justeru, kerajaan negeri telah menetapkan dasar utama untuk memerangi Covid-19 iaitu dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat yang layak menerima suntikan vaksin.
“Alhamdullilah, Sarawak sudah hampir mencapai imuniti kelompok mendahului negeri-negeri lain dengan pemberian vaksin dari bandar hingga ke pedalaman nun jauh berhampiran perbatasan seperti di Long Singut, Ulu Baleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya Sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Namun, jelas Abang Johari yang juga merupakan Pengerusi GPS, perjuangan kerajaan Sarawak belum lagi selesai dan masih berterusan.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita sentiasa memandang serius betapa perlu usaha keras digemblengkan dari semasa ke semasa sehingga situasi dalam negeri ini kembali normal pada masa mendatang,” katanya.
Mengulas mengenai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sarawak, beliau menyatakan setiap rakyat harus memberi khidmat dengan ikhlas dan berkorban untuk menangani pandemik yang sedang melanda negara dan negeri.
“Saya juga mengucapakan terima kasih kepada barisan petugas hadapan di seluruh negeri yang telah berkhidmat bertungkus lumus dan mengorbankan segala kepentingan diri dan keluarga untuk memastikan kita semua selamat dari jangkitan dan musibah Covid-19,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Awang Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengarah Penerangan Sarawak Swady Guliling.
suarasarawak.my
|