Potong kabel Maxis, lelaki dipenjara
KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memotong kabel tembaga milik Maxis Sdn Bhd pada April lalu.
Amirull Akbar Fathi, 32, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam satu kejadian pada 14 April lalu, jam lebih kurang 12 tengah hari di Menara Maxis Landeh terletak di Batu 10, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, seorang pengadu lelaki dan dua orang rakan yang tengah membuat kerja-kerja baikpulih di menara Maxis Landeh ternampak seorang lelaki sedang membakar beberapa batang kabel di tepi jalan utama masuk ke menara tersebut.
Pengadu sempat merakam perbuatan lelaki itu menerusi telefon pintar sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Setibanya polis di tempat kejadian, mereka terserempak dengan tertuduh yang sedang mengumpul kabel telah dibakar dan tertuduh seterusnya ditangkap. Polis juga merampas satu guni berisi beberapa potongan kabel tembaga yang telah dibakar.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2021/08/12
|