Kuota suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in di PPV Dewan Perdana dihadkan
KAWAL: Rohan (kanan) turut ke lokasi untuk melihat dan mengawal situasi kesesakkan yang berlaku di PPV berkenaan.
LAHAD DATU: Kuota penerima suntikan vaksin COVID-19 secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perdana di sini akan dihadkan kepada 600 orang sehari mulai hari ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Lahad Datu Muhamad Ayub Yaakub berkata langkah itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan situasi sesak di PPV berkenaan berulang.
“Situasi itu mengundang kebimbangan orang ramai dan boleh mengganggu proses pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di lokasi berkenaan. “Perkara itu sudah bincangkan dalam mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kita akan menempatkan empat anggota askar wataniah sebagai kawalan tambahan di PPV berkenaan,” katanya.
Kelmarin, tular gambar orang ramai bersesak di perkarangan luar PPV Dewan Perdana untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tanpa janji temu.
Dalam pada itu, Muhamad Ayub berkata bagi individu yang mendaftar MySejahtera dan mendapat janji temu vaksin di PPV berkenaan boleh hadir seperti yang dijadualkan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata keadaan di PPV Dewan Perdana di sini terkawal dengan kehadiran pihak polis.
“Kelmarin pagi berlaku kehadiran luar jangka orang awam termasuk warga asing walk-in ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. “Dianggarkan 1,500 orang awam berpusu-pusu masuk ke PPV, meskipun kuota suntikan yang ditetapkan hanya untuk 300 orang sahaja,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, pihaknya mendapat laporan daripada orang awam situasi di PPV terlalu ramai sehingga tiada penjarakan fizikal.
“Pihak polis bergegas ke PPV berkenaan sekali gus mengawal situasi di lokasi selain memberikan arahan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Program imunisasi secara walk-in itu dijalankan sejak empat hari lalu dan mendapat sambutan luar jangka daripada penduduk terutamanya warga asing yang berada di sekitar daerah ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu menzahirkan terima kasih kepada pihak yang sensitif dengan segera melaporkan keadaan di PPV berkenaan.
Katanya, polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dan memantau situasi program vaksinasi yang dijalankan dari semasa ke semasa.
utusanborneo.com.my/2021/08/13
|