Sarawak perlu lindungi individu berusia 18 tahun ke bawah
KUCHING: Sudah tiba masanya bagi Sarawak untuk bertindak bagi melindungi kumpulan berusia di bawah 18 tahun daripada jangkitan dan menjadi korban Covid-19.
Menurut Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Sarawak memohon kepada Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCOVAG) agar kumpulan itu diberi vaksin.
Beliau mengulas demikian susulan 260 kes atau 31 peratus daripada 836 kes jangkitan di negeri ini semalam terdiri daripada golongan terbabit.
“Kita tidak dapat menunggu lagi dasar PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) jadi kita meminta SCOVAG untuk menilai kumpulan ini untuk divaksin,” katanya menerusi catatan Facebook beliau.
Menurut Dr Sim, daripada 836 kes direkodkan semalam 114 kes atau 13.6 peratus ialah mereka berusia 18 tahun ke atas tetapi belum divaksin.
Jelasnya lagi, daripada 116 kes (13.8 peratus) kes direkodkan telah mendapat dos pertama vaksin Covid-19.
Katanya, kumpulan terbabit akan berkurangan memandangkan di Sarawak ia hampir mencapai 99.9 peratus untuk janji temu bagi dos kedua.
“Daripada jumlah kes direkodkan semalam juga 346 kes (41.4 peratus) mereka yang telah lengkap mendapat dua dos dan angka ini yang perlu dianalisis lebih lanjut,” katanya.
Beliau berkata 77 peratus atau 645 kes yang direkodkan di seluruh Sarawak semalam adalah di tiga kawasan, iaitu di Kuching-Samarahan-Serian antaranya, mungkin disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi.
sarawakvoice.com/2021/08/11
|