Jabatan kerajaan digesa panjangkan tempoh operasi kaunter perkhidmatan
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menggesa jabatan-jabatan kerajaan memanjangkan lagi tempoh operasi kaunter perkhidmatan bagi memudahkan orang ramai berurusan.
Pengerusinya Chong Chieng Jen (gambar) berkata sejak beberapa bulan yang lalu, beberapa jabatan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bahagian perlesenan khasnya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya menerima pelanggan yang telah membuat janji temu terlebih dahulu.
Menurutnya, keadaan bertambah teruk apabila LHDN mengehadkan 100 permohonan atau pembaharuan lesen perniagaan sehari sedangkan ia perlu diperbaharui setahun sekali.
Beliau berkata dengan kuota 100 permohonan untuk memperbaharui atau memohon lesen perniagaan baharu sehari, secara maksimum hanya 25,000 lesen perniagaan boleh dipohon atau diperbaharui setahun bagi seluruh Kuching.
Disebabkan itu ujarnya, ahli perniagaan tidak dapat memperbaharui lesen mereka dan ramai pengguna jalan raya serta pemilik kenderaan tidak dapat membayar cukai jalan serta lesen memandu.
Ramai yang berjaya melakukannya, ia dilakukan dengan kos tambahan, dakwanya.
"Nampaknya sekarang pengguna mesti membayar lebih untuk mendapatkan janji temu, jika tidak mereka akan terus menanti.
"Oleh itu, kita cadangkan jabatan-jabatan ini memanjangkan tempoh operasi kaunter perkhidmatan masing-masing dari 8 pagi hingga 8 malam. Memandangkan ketika ini hanya 50 peratus kapasiti pekerja dibenarkan pada satu-satu masa, maka pekerja boleh dibahagi kepada dua syif bekerja, enam jam sehari," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Chong berkata di peringkat kerajaan negeri, Jabatan Tanah dan Survei dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak juga menggunakan amalan sama, akibatnya transaksi tanah tertangguh selama beberapa minggu dan bulan kerana tempoh beroperasi yang sangat terhad begitu juga permohonan atau lanjutan permit pekerja asing.
Semua ini memberi kesan kepada perniagaan, ia bukan saja menyebabkan ketidakselesaan yang besar kepada orang ramai tetapi ekonomi.
"Dengan tenaga kerja dihadkan 50 peratus, semua jabatan kerajaan ini tidak boleh meneruskan jadual kerja dari 8 pagi hingga 5 petang," ujarnya.
Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu menegaskan bagi memaksimumkan jam perkhidmatan kepada orang ramai dan menghapuskan semua halangan ini, pejabat tidak sepatutnya ditutup pada waktu rehat tengah hari atau petang.
Pegawai yang bertugas katanya boleh berehat secara bergilir-gilir untuk waktu rehat singkat semasa syif mereka bertugas.
"Memanjangkan masa beroperasi kaunter-kaunter perkhidmatan, satu-satunya cara sekarang untuk memudahkan penyediaan perkhidmatan kepada orang ramai dan meningkatkan ekonomi negeri ini.
"Jika tidak, dengan setiap perkhidmatan-perkhidmatan relevan yang sangat berkait rapat dengan perniagaan, bekerja dengan kapasiti pekerja kurang 50 peratus, ekonomi kita akan pulih dengan sangat perlahan," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/08/11
|