Edited by Vellfire at 10-8-2021 12:46 PM
Dua beranak jatuh laut ditemui, seorang meninggal dunia
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat, sebaik tiba di Jeti Marina Bay, jam 1.30 tengah hari tadi. – Gambar ihsan APMM
MIRI: Dua anak beranak yang terjatuh ke laut selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dipukul angin kencang dan ombak kuat dalam kejadian tengah hari tadi berjaya ditemui oleh nelayan tempatan pada jam 12.45 tengah hari yang sama.
Mangsa, Semido Sadan, 56 ditemui dalam keadaan selamat manakala bapanya, Sadan Seman, 87, meninggal dunia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, nelayan dua beranak itu berjaya ditemui oleh bot nelayan yang berada di lokasi kejadian, kira-kira 11 batu nautika dari barat daya Kuala Miri.
"Kita menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak mengenai sebuah bot fiber terbalik bersama dua kru lebih kurang 11 batu nautika barat daya Kuala Miri, sekitar perairan Lutong pada jam 12 tengah hari tadi," katanya.
Serentak itu juga pihak APMM mengaktifkan Operasi Carilamat di Jeti Marima Bay, dengan menugaskan bot Kilat 42 ke lokasi yang dilaporkan.
Beliau berkata, mangsa yang terselamat (Samido) memberitahu kejadian berlaku secara tiba-tiba, apabila bot yang dinaiki beliau dan bapanya telah dipukul angin kencang dengan ombak setinggi lebih kurang tiga meter menyebabkan bot dimasuki air dan terbalik.
"Mangsa yang terselamat memakai jaket keselamatan, manakala bapa mangsa telah hilang dan ditemui terapung tidak jauh dari lokasi kejadian oleh nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan di lokasi berdekatan," katanya.
Kedua-dua mangsa tiba di Jeti Marina Bay pada jam 1.30 petang bersama bot nelayan serta aset Maritim Malaysia dan Operasi Carilamat, ditamatkan.
Dalam pada itu, Md. Fauzi turut mengingatkan para nelayan dan mereka yang turun ke laut supaya sentiasa mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.
"Tangguhkan sebarang aktviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengenal pasti lokasi sekira berlaku kecemasan," katanya lagi.
utusanborneo.com.my/2021/08/10
|