Edited by Vellfire at 8-8-2021 04:48 PM
Kemudahan-kemudahan bagi individu yang menerima vaksinasi lengkap
KUCHING: Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain itu, katanya ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.
Pada masa sama, beliau berkata pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.
“Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk in dividu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas hari ini, mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang akan mula berkuat kuasa pada 10 Ogos nanti.
Selain itu, Perdana Menteri berkata rentas daerah juga dibenarkan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.
“Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.
Muhyiddin menambah aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel.
“Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata makan dalam premis atau ‘dine-in’ juga dibenarkan, walaupun ia mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja.
Namun, katanya pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk ‘dine-in’ mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk ‘dine-in’ di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan.
suarasarawak.my
|