Edited by Vellfire at 6-8-2021 11:35 AM
Isu elaun RELA tertunggak selesai
Abang Zulfikar (dua kanan) bersama Tiong, Hussaini dan Mohd Sani semasa bercakap pada sidang media hari ini.
BINTULU: Tuntutan elaun tertangguh anggota RELA di seluruh Sarawak termasuk Bintulu telah dapat ditangani dan diselesaikan susulan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Sarawak telah menerima peruntukan RM4.69 juta daripada Kerajaan Sarawak untuk pembayaran elaun anggotanya dari April, Mei dan Jun tahun ini.
Pengarah RELA Sarawak, Abang Zulfikar Abang Raduan berkata, tuntutan elaun-elaun itu adalah berkaitan penugasan anggota RELA semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini yang belum diterima untuk tempoh tiga bulan tersebut.
"Elaun penugasan PKP mulai 6 Mei lepas telah mendapat persetujuan Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk dibayar oleh kerajaan negeri kepada anggota RELA," ujarnya dalam sidang media selepas sesi dialog bersama anggota RELA Daerah Bintulu berkaitan isu terbabit di Hotel Promenade Bintulu hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu merangkap Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim dan Ketua Balai Polis Pusat Bintulu, ASP Mohd Sani Junid.
Katanya, untuk pembayaran elaun bulan April tidak banyak masalah tetapi mulai Mei dan Jun terdapat kelewatan penyaluran peruntukan daripada Kerajaan negeri kepada RELA.
"Alhamdulilah semalam kerajaan negeri menyalur RM4.69 juta kepada RELA Negeri Sarawak dan elaun itu akan dibayar terus kepada anggota RELA yang masih tertangguh elaunnya dari April hingga Jun," jelasnya
Selain itu katanya, kita turut berbincang dengan pengurusan tertinggi RELA yang bersetuju agar pembayaran elaun berkaitan penugasan PKP dibayar mengguna peruntukan sedia ada daripada Kerajaan Persekutuan yang telah disalur kepada Pejabat RELA Negeri.
Menjelas lanjut berkenaan peruntukan RM4.69 juta itu katanya, ia untuk keseluruhan anggota RELA Sarawak tetapi untuk tuntutan elaun pada bulan April hingga Jun sebenarnya adalah RM6.9 juta dan ada berbaki RM2.3 juta akan disalur kemudian.
Katanya, pembayaran ini melibatkan 3,000 anggota seluruh Sarawak termasuk 347 anggota RELA di Bintulu yang mana masalah kelewatan tuntutan elaun ini bukan hanya di Bintulu tetapi seluruh Sarawak.
Menurutnya, untuk anggota RELA di Bintulu, ia hanya melibatkan tuntutan untuk bulan Mei dan Jun yang mana peruntukan RM4.69 juta yang diterima itu adalah termasuk untuk elaun anggota RELA Bintulu.
"Masalah ini selesai sehingga peruntukan sampai kepada anggota dan sekarang ini masih `floating' memandangkan peruntukan dalam jumlah besar daripada kerajaan negeri kepada bank melibatkan tempoh dua hari `floating' dan selesai `floating' kita akan terus bayar," katanya sambil menambah pembayarannya kemungkinan minggu hadapan. Beliau berkata, tindakan kita yang lain juga adalah menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan sebelum ini kita bayar mengguna peruntukan sendiri tetapi apabila berlaku pandemik ini (COVID-19) jumlah anggota RELA bertugas naik mendadak 300 peratus disebabkan itu kita mengalami masalah peruntukan dan kerajaan negeri bersetuju untuk membantu cuma mungkin ada sedikit kelewatan.
Utusan borneo/2021/08/06 Sarawak voice/2021/08/06
|