Ibu tunggal kerugian RM494,000 dalam kes penipuan `African Scam'
BINTULU: Seorang ibu tunggal berusia 40-an kerugian RM494,000 apabila menjadi mangsa penipuan `African Scam' yang berlaku antara Mac dan Mei tahun lepas (2020) sehingga kes terbabit dilaporkan kepada pihak polis pada 3 Ogos tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, mangsa pada pertengahan Februari tahun lepas telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai `Li Wei' melalui media sosial Facebook.
Katanya, suspek telah mempelawa mangsa untuk melabur dalam satu projek minyak dan gas di Sicily Itali.
"Mangsa tertarik dengan tawaran tersebut kerana dijanjikan projek tersebut akan mendatang keuntungan lumayan. Kemudian mangsa telah membuat lebih 30 transaksi kemasukan wang dengan jumlah keseluruhan RM494,000 ke dalam lima akauan bank tempatan atas nama individu berlainan antara Mac hingga Mei 2020," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Begitupun katanya, mangsa menyedari telah tertipu apabila suspek yang dihubungi dan ditanya sering memberi pelbagai alasan tidak munasabah dan mengatakan projek mengalamai masalah kewangan.
Bahkan katanya, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan untuk projek tersebut.
Justeru beliau menasihati anggota masyarakat agar tidak mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik atau tampan yang digunakan dalam media sosial.
Katanya, pengguna media sosial diingatkan agar tidak mengemas kini status yang menunjukkan berada dalam kesunyian, sedang mencari pasangan hidup, terdesak untuk memiliki seseorang atau sebagainya kerana status seperti itu akan menarik perhatian penjenayah siber.
"Orang ramai juga dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial. Jangan terlalu mudah percaya dengan apa-apa tawaran seperti pelaburan sesuatu projek, pemberian hadiah, barangan kemas, mata wang asing dan sebagainya dari media sosial yang dikatakan dari luar negara," katanya.
Selain itu, masyarakat perlu berhati-hati sekiranya terdapat sebarang komunikasi melibatkan wang, memandangkan penjenayah sedang masuk ke peringkat untuk mencapai objektif utama mereka iaitu mendapatkan wang secara mudah dengan menipu.
Disebabkan itu katanya, jangan sesekali mendedah atau memberikan maklumat perbankan atau maklumat kewangan anda dan orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp/SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.
Utusan borneo/2021/08/06
|