MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mewujudkan satu ikon untuk Bandaraya Miri dengan slogan ‘Sayangi Miri’ di tapak pembinaan Jalan Kingsway Bandaraya Miri.
Pengerusi penganjur yang juga Bendahari NSJA Chai Chon Chin berkata, projek ini dilaksanakan NSJA bertujuan menyumbang kepada masyarakat Miri dan Sarawak bagi menghasilkan satu ikon projek ‘Sayangi Miri’ di Jalan Kingsway Bandaraya Miri.
“Anggaran kos Projek CSR ini menelan kos RM45,000 dengan pembinaan papan LED beserta lampu bersaiz panjang 170 inci dan lebar 276 inci.
“Cadangan ini telah diumumkan dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun NSJA ke 45 di Hotel Mega Miri pada tarikh 20 November 2019.
“Sepatutnya pembinaan ini bermula tahun lepas, tetapi disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), projek ini terpaksa ditangguhkan pada Julai tahun ini,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pada Rabu.
Projek ini telah mendapat sokongan beberapa pihak termasuk Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew sebagai penaja utama dengan menyumbangan RM20,000 dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau menyumbang RM10,000.
Turut memberi sumbangan beberapa orang penderma lain.
Tambah Chai lagi, keputusan NSJA membangunkan Ikon “Sayangi Miri” ini sebagai hadiah ulang tahun Miri yang ke-16 pada tahun ini dengan mewujudkan satu tarikan yang baharu di Bandaraya Miri.
Selain itu, bangunan bekas Pejabat Residen Miri yang juga bangunan bekas tinggalan zaman British itu juga akan dinaik taraf dan dijadikan Muzium Budaya dan Warisan Miri pada masa yang akan datang dengan kos bagi menaik taraf bangunan ini akan dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Chai juga berharap dengan hasilnya Ikon Sayangi Miri dapat menarik pelancong mengunjungi Bandar Miri, membantu mempromosikan sektor pelancongan dan ekonomi Sarawak, serta mengambil kesempatan ini untuk membantu mempromosikan pembangunan ekonomi perniagaan tempatan.
Hadir sama Pengerusi Pembangunan Pelancongan Komiti Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Warziedea Ahmad dan Pengerusi NSJA Andy Jong.
Sarawak voice/2021/08/05