Kota Kinabalu: Sabah Football Club (FC) terpaksa beraksi tanpa tiga tonggak utama apabila menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok. Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, tiga pemain itu ialah Alto Linus dan Randy Baruh yang masing-masing mengumpul tiga kad kuning manakala pertahanan import, Park Taesu masih cedera selepas aksi menentang Sri Pahang FC, tempoh hari. Bagaimanapun, katanya, beberapa pemain lain diyakini mampu menggalas tugas ditinggalkan tiga tonggak berkenaan dan keputusan mengenai siapa akan beraksi hanya akan diputuskan selepas latihan, petang ini. "Kita kehilangan tiga tonggak, tetapi tetap harus mengharungi perlawanan tanpa mereka dan saya yakin pemain lain mampu menggalas tugas menggantikan mereka. "Saya berharap pemain yang dimasukkan nanti sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan berat, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan. "Diharapkan semua pemain akan tetap bersemangat serta berkeyakinan untuk beraksi malam esok, sekali gus mencapai keputusan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini. Kurniawan berkata, beberapa kesilapan ketika aksi menentang Sri Pahang FC, sebelum ini, sudah dikenal pasti dan mereka akan berusaha mengelak melakukan perkara sama. Menurutnya, pemain perlu bekerja keras untuk memberi tentangan hebat kepada lawan seterusnya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan. "Saya selalu menekankan kepada pemain bahawa semua perlawanan harus sama-sama dipikul dan selalu menganggap semua perlawanan adalah final. "Dalam perlawanan bola sepak, apa saja boleh berlaku, mudah-mudahan kita dapat mencuri mata di gelanggang lawan malam esok. "Mengutip mara dalam perlawanan bertemu TFC ini penting bagi menaikkan moral dan semangat pasukan untuk aksi seterusnya bertemu Kuala Lumpur FC di Stadium Likas pada 4 Ogos depan," katanya. Selepas 15 perlawanan, Sabah kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan 17 mata hasil daripada empat kemenangan, lima seri dan enam kekalahan. Sementara itu, TFC kini berada di kedudukan kedua selepas mengutip 30 mata daripada 15 aksi iaitu menang sembilan kali, tiga seri dan tiga kekalahan. sumber : HMetro
|