Kuala Lumpur: Kekerapan perlawanan persahabatan sebelum perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 penting bagi mengelak 'pisang berbuah dua kali' hingga menjejaskan momentum dan persediaan Harimau Malaya kelak. Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, ketika ini sudah ada beberapa pasukan menyatakan persetujuan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan kebangsaan. Beliau berkata, perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 membabitkan skuad Harimau Malaya menerusi kaedah gelembung bio-perubatan di negara ini pada September depan dapat membantu jurulatih mencuba beberapa pemain baharu untuk diserapkan dalam pasukan. "Kalau boleh kami mahu membuat persiapan awal supaya barisan pemain lebih bersedia dan mempunyai waktu lebih panjang bersama. "Kami tidak mahu berlaku seperti sebelum ini apabila agak terkejar-kejar untuk mengumpul pemain selain perlawanan persahabatan terhad hingga menyukarkan persediaan rapi dilaksanakan. "Sudah tentu kami mengharapkan skuad Harimau Malaya akan tampil lebih konsisten dalam mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 nanti, "katanya. Terdahulu, FAM berhasrat menganjurkan dua siri perlawanan antarabangsa Tier 1 membabitkan skuad Harimau Malaya menerusi kaedah gelembung bio-perubatan di negara ini pada September depan. Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM sudah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan pembentangan kertas cadangan penganjuran dua aksi itu. Antara negara mungkin berhadapan dengan Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan itu nanti adalah Palestin. Perlawanan persahabatan antarabangsa penting untuk mencari skuad terbaik untuk mengharungi sepak mula saingan pusingan ke-3 Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijangka bermula pada Februari 2022. sumber : HMetro
|