Pastikan Sarawak kembali ke Zon Hijau COVID-19, sebelum Darurat tamat - PKR Sarawak
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyokong Proklamasi Darurat (Sarawak) yang diumumkan kerana ia bertepatan dengan keadaan COVID-19 yang teruk melanda negara pada masa kini.
Proklamasi Darurat tersebut telah diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billal pada 30 Julai lepas.
"Justeru dengan Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa dari 2 Ogos sehingga 2 Februari itu membolehkan para pemimpin politik kerajaan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan sendiri oleh kerajaan.
"Sebagai contoh, penularan COVID-19 di Kapit yang menyebar dengan banyak selepas satu acara pernah diadakan di Kapit sebelum ini," kata Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya menegaskan bahawa darurat untuk Sarawak tidak harus dipersiakan tanpa ada hasil keputusan yang dikehendaki.
Sarawak harus benar-benar dapat mengawal dan bebas COVID-19 seterusnya menjadi zon hijau sebelum darurat tamat nanti, tegasnya lagi.
"Jika keadaan mengizinkan, PKR Sarawak mencadangkan agar diadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan SOP yang ketat bagi membahaskan dan meluluskan usul-usul perkara berkaitan.
"Ini termasuk bantuan kepada rakyat Sarawak yang akan dimasukkan ke dalam Bajet 2022 Negeri Sarawak nanti," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/07/31
|