Bomba selamatkan wanita cuba terjun bangunan
Anggota Bomba memujuk mangsa sebelum ditangkap masuk ke dalam bangunan dengan selamat.
TATAU: Seorang wanita warganegara Indonesia yang dipercayai cuba terjun dari bumbung di sebuah premis di Tatau berjaya diselamat oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dalam operasi menyelamat pada pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi daripada pihak polis Tatau berkenaan seorang wanita yang belum dikenal pasti identiti berada di atas bumbung sebuah bangunan kedai.
Susulan itu katanya, pihak bomba yang diketuai Ketua BBP Tatau, Jankey Jikat telah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 4 kilometer dari BBP Tatau.
"Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba bertindak memujuk mangsa namun gagal sehingga 30 minit kemudiannya, ketua operasi mengarahkan agar mangsa ditangkap secara paksa masuk ke dalam bangunan," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam tindakan itu semua anggota di bawah dan atas bangunan diarah bersiap sedia menghadapi apa-apa tindakan mangsa.
Beliau berkata mangsa akhirnya berjaya ditangkap oleh tiga anggota yang berada di atas bangunan seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Seramai lapan anggota PDRM dan tiga anggota KKM Tatau yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) turut terlibat dalam operasi terbabit dan punca mangsa bertindak demikian masih dalam siasatan pihak polis serta pihak berkuasa berkaitan. Mangsa dipujuk namun gagal lalu ditangkap masuk ke dalam bangunan dengan selamat.
utusanborneo.com.my/2021/07/31
|