|
Hwang Jung-eum, Lee Young-don tak jadi cerai
Hwang Jung-eum
Seoul: Pelakon Hwang Jung-eum dan suaminya, Lee Young-don membatalkan perceraian selepas melalui proses mediasi.
Perkara itu disahkan agensi, C-Jes yang mewakili pelakon siri Endless Love itu, semalam.
"Ketika mediasi perceraian, Jung-eum dan suami sama-sama memahami perbezaan pandangan masing-masing. Selepas komunikasi mendalam, mereka memilih untuk tetap bersama," kata agensi itu.
Pada awal September tahun lalu, Jung-eum membuat permohonan cerai terhadap Young-don selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Jung-eum dan Young-don berkahwin pada Februari 2016 di Seoul Silla Hotel. Perkahwinan yang berlangsung secara tertutup dengan dihadiri 700 tetamu itu diadakan dua bulan selepas agensi mengesahkan mereka bercinta.
Sepanjang kerjayanya, Jung-eum pernah memenangi kategori Pelakon Wanita Baru Terbaik di BaekSang Arts Awards 2010 menerusi drama High Kick! 2.
Selain itu, dia juga pernah mendapat pengiktirafan pada beberapa acara anugerah lain seperti MBC Drama Awards 2015, SBS Drama Awards 2014 dan KBS Drama Awards 2013.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|