Jose Mourinho diperkenalkan sebagai pengurus baharu Roma semalam selepas kontrak Paulo Fonseca dengan Giallorossi berakhir pada 30 Jun. - Foto AS ROMA
ROME: Jose Mourinho mendakwa dia jurulatih yang lebih baik sekarang - berbanding ketika di Inter Milan di mana dia memenangi treble - dalam cabaran baharunya sebagai pengendali Roma. Pengendali dari Portugal itu diperkenalkan sebagai pengurus baharu Roma semalam selepas kontrak Paulo Fonseca dengan Giallorossi berakhir pada 30 Jun. Ia adalah kali kedua Mourinho berkelana di Itali selepas dia bersama Inter dua musim dan menjulang trofi Serie A, Piala Itali serta Liga Juara-Juara 2010. Namun Mourinho, 58, berkata pengalaman dikutipnya dalam liga-liga lain selepas itu menjadikannya seorang jurulatih yang lebih baik. 'The Special One' turut menyelar bekas kelabnya Tottenham, yang memecatnya pada April hanya enam hari sebelum final Piala Liga menentang Manchester City, dengan berkata dia tidak percaya dengan waktu ianya dilakukan. "Saya lebih baik sekarang. Saya serius - kerana saya rasa ini adalah tugas di mana pengalaman sangat bermakna. "Pengalaman menjadikan semuanya seperti deja vu kerana anda mengharungi terlalu banyak pengalaman sejak saya meninggalkan Itali. "Saya pergi ke Real Madrid dan ia pengalaman yang menakjubkan, di mana saya mencapai impian saya untuk menang di Itali, England dan Sepanyol. "Kemudian kembali ke England di mana keluarga saya menetap dan sudah tentu saya mahu pergi. "Saya juga mempunyai pengalaman membawa pasukan ke final dan tidak dapat bersama - sesuatu yang saya rasa tidak akan berlaku dalam karier saya tetapi ia terjadi. "Jadi dengan pengalaman luas dan mempelajari saat baik dan buruk, saya lebih bersedia berbanding sebelumnya," kata Mourinho. - AGENSI
|