COVID-19: 409 kes baharu, dua kematian
KUCHING: Sarawak merekodkan 409 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian hari ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Jelasnya, sejumlah 234 atau 57.21 peratus daripada jumlah kes ini dikesan di lima daerah iaitu di Sibu, Kuching, Sarikei, Tebedu dan Mukah.
"Daerah-daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah daerah Sibu (75), Kuching (65), Sarikei (35), Tebedu (31), Mukah (28), Bintulu (23), Kanowit (23), Miri (22), Song (12), Kapit (11), Telang Usan (10), Saratok (9), Sri Aman (9), Lubok Antu (8), Tatau (8), Subis (7), Samarahan (7), Sebauh (5), Bukit Mabong (5), Pakan (4), Simunjan (2), Betong (2), Selangau (2), Lundu (1), Tanjung Manis (1), Bau (1), Meradong (1), Serian (1) dan Pusa (1)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah jawatankuasa itu, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 64,233.
Mengulas lanjut, katanya, daripada 409 kes baharu yang dilaporkan, seramai 49 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.
Manakala seramai 360 orang kes atau yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin.
"Secara ringkas, kes-kes ini terdiri daripada 267 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 (18 kes bergejala); 89 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (2 kes bergejala); 28 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan; 21 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan (1 kes bergejala); 4 kes melibatkan individu yang balik dari luar negara (Import A) iaitu dari Indonesia (kes tidak bergejala)," ujarnya.
Mengenai dua kematian yang dilaporkan hari ini, JPBNS memberitahu, satu melibatkan wanita berusia 76 tahun di Hospital Sarikei dan satu lagi kes melibatkan wanita berusia 83 tahun di Hospital Kapit.
"Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah bertambah kepada seramai 406 orang.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengucapkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa," ujarnya. Selain itu, JPBNS memaklumkan terdapat 523 kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.
Manakala, 409 orang yang disyaki (PUI) baharu telah dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.
utusan borneo 2021-06-28T18:51:09+08:00
|