LONDON: England akan menentang Jerman, Perancis, Portugal atau Hungary di pusingan 16 terakhir Euro 2020 selepas menewaskan Republik Czech, sebentar tadi. Kemenangan tipis 1-0 skuad The Three Lions di Wembley itu memastikan mereka muncul juara Kumpulan D. Ia bermakna, mereka bakal menempah pertembungan ngeri di pusingan 16 terakhir dengan naib juara dari Kumpulan F yang turut dianggap sebagai 'kumpulan maut'. Ketika ini, musuh lama mereka Jerman berada di kedudukan kedua dalam kumpulan itu dengan tiga mata, tetapi masih mempunyai satu perlawanan untuk diharungi, awal pagi esok. Namun, tempat yang dihuni Jerman ketika ini juga boleh bertukar tangan kepada pemenang Piala Dunia, Perancis atau juara bertahan Eropah, Portugal yang dipimpin Cristiano Ronaldo.
Perancis ketika ini berada di puncak Kumpulan F dengan empat mata, manakala Jerman mengatasi Portugal menerusi perbezaan gol dan Hungary pula berada di tangga keempat selepas hanya mengumpul satu mataSkuad kendalian Didier Deschamps akan membuat perhitungan dengan Portugal dan Jerman pula, menanti kunjungan Hungary bagi menentukan kedudukan akhir kumpulan. Sekiranya England perlu berdepan Jerman, pertarungan di Wembley akan menjadi salah satu pertembungan terbesar dalam bola sepak dunia. Ia mungkin akan mengimbas kembali pertembungan pada 1966, ketika Three Lions menang bergaya 4-2 di Wembley pada final Piala Dunia. Kali terakhir England menentang Jerman di kejohanan besar adalah pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan Jerman berjaya mengalahkan mereka 4-1. - AGENSI
|