Edited by Vellfire at 22-6-2021 03:11 AM
Polis buru 'Youtuber' tuduh Jeffrey rasis
DIBURU: Lelaki yang dipercayai Youtuber terlibat dengan video yang menuduh Jeffrey sebagai rasis dan punca perpecahan kaum di Sabah.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang juga Youtuber diburu polis bagi membantu siasatan berhubung video yang dipercayai menuduh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan sebagai rasis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, video berdurasi 11 minit 36 saat itu dimuat naik dalam aplikasi Youtube menerusi saluran 'MALAYSIAN RESPOND'. Katanya, seorang pengadu melaporkan menonton video berkenaan pada 4 November tahun lepas yang bertajuk 'Sabah Must Watch! Biopolitik Tokoh Rasis Pemecah Perpaduan Sabah'. "Hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit berucap mengenai Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Jeffrey Kitingan. "Lelaki berkenaan menuduh Jeffrey sebagai seorang rasis dan memiliki Ijazah Kedoktoran dari University of Harvard yang meragukan selain menyalahkannya kerana menjadi punca perpecahan kaum di Sabah.
"Youtuber terbabit turut mengaku sebagai wakil suku kaum Bajau Suluk di Sabah dan menuduh Jeffrey punca utama suku kaum Bajau Suluk dibenci," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, sejak dimuat naik, video berkenaan mendapat jumlah tontonan sebanyak 2,502 dengan jumlah langganan sebanyak 1,028 orang. Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit supaya tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Palaninathan Pathmanathan di talian 016-4122835 atau 088-529222.
utusan borneo 2021-06-21T18:03:07+08:00
|