KOTA KINABALU: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah meminta polis mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan Raymond Ahuar berikutan tindakan itu dilihat sebagai tindakan menyebarkan berita palsu.
Naib Ketua Armada BERSATU Sabah Rafie Robert berkata, kenyataan yang mendakwa 'kanak-kanak dijual ibu sendiri' juga terbukti tidak benar dan berbaur fitnah berdasarkan maklumat sahih yang dikeluarkan oleh pihak polis sendiri. "Merujuk kepada inti pati kenyataan yang bertajuk 'PDRM Berjaya Menyelamatkan Kanak-Kanak Dijual Ibu Sendiri, Bukti Kesengsaraan Rakyat Hari Ini' mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Daerah Keningau berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada dijual oleh ibu kandung mereka. "Raymond juga mendakwa tiga beradik itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana desakan hidup ibu kandung mereka sendiri sebelum dijual kerana tidak mempunyai wang setelah terputus pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lebih teruk lagi apabila dia mendakwa anak sulung yang sudah dijual itu kononnya berjaya diselamatkan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia oleh PDRM dan Jabatan Kebajikan Keningau. Ibu mereka turut menerima deposit untuk anak kedua bagaimanapun pembeli masih belum menuntut kanak-kanak berkenaan, manakala anak ketiga masih menunggu pembeli ternyata tidak benar sama sekali,” katanya.
Menurutnya, isu ini dinafikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Polis Daerah Keningau Shahrudin Mat Husain yang mendedahkan kes itu berkaitan sepasang suami isteri yang ditahan kerana kesalahan dadah. "Raymond yang juga Ketua AMK Sabah dan Ahli MPP Keadilan juga dilihat menggunakan isu ini untuk kepentingan politik peribadinya untuk menghasut rakyat bersama dakwaan yang tidak benar terhadap barisan menteri yang didakwa tidak melihat kesengsaraan rakyat dengan peningkatan kes penceraian dan bunuh diri. "Berita palsu yang disebarkan oleh Raymond itu tidak boleh dibiarkan atau diambil mudah oleh polis kerana beliau sudah mencetuskan perasaan tidak senang hati dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan kini terbukti terus berusaha untuk membantu rakyat yang terkesan oleh pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan COVID-19 bagi menyelesaikan isu kesukaran hidup yang dibangkitkan oleh Raymond.
utusan borneo 2021-06-17T14:25:01+08:00
|