|
Mengaku bersalah rogol anak tiri
KUCHING: Seorang lelaki diperintahkan menjalani hukuman penjara 15 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merogol anak tirinya berumur 14 tahun pada 2019.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Jason Juga selepas tertuduh berusia 29 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah semasa perbicaraan hari ini.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 November 2019 dan tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani kaunseling pemulihan semasa hukuman.
Tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki bekerja sendiri itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 6 November 2019, antara jam 8 hingga 9 pagi di kediaman mereka di Petra Jaya, dekat sini.
Mengikut keterangan kes, tertuduh dan mangsa tinggal bersama dan tertuduh sering melakukan perbuatan itu mulai tahun 2017 hingga 2019, sejak mangsa berusia 12 tahun.
Kejadian terbongkar apabila mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Sehubungan itu, pengadu kes ini yang bertugas di HUS membuat laporan setelah menerima panggilan dari wad kecemasan HUS yang memaklumkan bahawa terdapat seorang pesakit (mangsa) disyaki dirogol oleh bapa tirinya.
Hasil pemeriksaan doktor pakar juga mendapati terdapat kesan koyakan baharu dan lama pada bahagian sulit mangsa.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan menyesal dengan perbuatannya dan memaklumkan mahkamah bahawa ia merupakan kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman berat berbentuk pencegahan.
"Mangsa mengalami kesan serta trauma secara emosi dan psikologi seumur hidup akibat perbuatan tertuduh.
"Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh bagi mengelakkan kesalahan seksual membabitkan sumbang mahram sebegini berulang," ujar Nurfadzlin semasa perbicaraan.
Oleh Hafizah Abdul Hamid
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|