|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/5519amran1a_1557022491.jpg)
KEUNIKAN namanya, Isnin bin Puasa pastinya menarik perhatian ramai apabila umat Islam dijangka menyambut Ramadan, esok.
Bagi Isnin Puasa, 74, nama yang diberikan arwah bapanya, Puasa Sabtu sesuatu yang cukup istimewa dan secara kebetulan umat Islam dijangka mula berpuasa, esok.
Peneroka Felda itu berkata, namanya, Isnin adalah nama biasa namun sebaik digabungkan dengan nama bapanya, Puasa, ia menjadi Isnin Puasa.
“Secara kebetulan kita akan berpuasa esok (Isnin) dan kesempatan itu saya mengucapkan selamat berpuasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kepis, Bahau, hari ini.
Katanya lagi, sepanjang hayat arwah, bapanya tidak pernah menceritakan sebab nama itu diberikan kepadanya.
“Saya menganggap nama ini sangat istimewa. Sewaktu bersekolah rendah, kawan-kawan sering menyakat dan menjadikannya bahan jenaka, namun saya tidak pernah mengambil hati.
“Ada juga penduduk di Felda ini menyakat supaya berpuasa pada Isnin ini tetapi saya hanya tersenyum,” katanya yang berasal dari Alai, Melaka dan menetap di Felda itu sejak 17 April 1982.
Dia yang ditemani isteri, Mariah Ibrahim, 64, berkata, datuk sebelah bapanya bernama Sabtu dan jika digabungkan semua nama menjadi Isnin Bin Puasa Bin Sabtu.
“Saya adalah Isnin Puasa manakala arwah bapa, Puasa Sabtu,” katanya yang memiliki ibu bernama Pon Jambol.
Menurutnya lagi, dia beberapa kali meraikan Ramadan dan mula berpuasa pada Isnin dengan kali terakhir pada 6 Jun 2016.
![](https://www.hmetro.com.my/feo-cdn/y/A/9voBJLCjc.webp)
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|