View: 1758|Reply: 0
|
Hati warga emas mudah tersentuh
[Copy link]
|
|
Ya Allah, engkau pelihara lah diriku supaya aku tidak berlaku kurang ajar terhadap org tua ku
Sudah menjadi kewajipan bagi setiap insan bergelar anak menjaga hubungan baik dengan ibu bapa lebih-lebih lagi yang lanjut usia.
Peranan anak bukan hanya mengambil berat keperluan ibu bapa yang sudah tua, malah cara berkomunikasi juga penting untuk memastikan ibu bapa tidak berkecil hati dengan setiap butir bicara ketika bersama mereka.
Umum mengetahui, orang tua menjadi lebih sensitif dan hati mereka mudah tersentuh dengan perlakuan dan tutur kata kita sebagai anak, tidak kurang juga yang menjeruk hati dengan kata-kata kita.
Oleh itu, pentingnya kita memahami dan cuba memperbaiki komunikasi dengan ibu bapa yang memasuki usia senja terutama apabila berdepan konflik mahupun perbualan harian bersama mereka.
Ia tidaklah sesukar mana asalkan kita tahu menjaga batas dalam percakapan, tidak terlalu beremosi serta memahami keadaan mereka yang semakin uzur dan tidak sekuat dulu.
Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, komunikasi dengan warga emas menjadi lebih sensitif dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Komunikasi boleh berlaku melalui lisan mahupun bukan lisan. Komunikasi berkesan berlaku sekiranya penerima menerima dan memahami hasrat serta maksud penyampai.
Warga emas adalah orang yang amat berpengalaman dalam kehidupan, jadi gaya komunikasi mereka juga dijiwai sejak bertahun-tahun lagi.
Individu yang berkomunikasi dengan warga emas perlu peka dalam isu yang mahu dibicarakan. Sekiranya ibu bapa belum bersedia maka kita perlu mencari masa yang sesuai ataupun mulakan topik kesukaan mereka sebelum membincangkan isu berkenaan.
Ketika berkomunikasi dengan warga emas, ada beberapa kriteria yang perlu diambil kira iaitu:
Rela dan bersedia
Konflik komunikasi sering kali berlaku bila kesesuaian masa dan keadaan (emosi, psikologi atau mental) warga emas tidak diambilkira. Ibu bapa yang bersedia dan rela membincangkan sesuatu isu akan membuka peluang kepada kita untuk memujuk mereka. Mereka juga mungkin lebih terbuka untuk mendengar luahan kita.
Sebaliknya sekiranya ibu bapa kita tidak bersedia, walaupun isu yang dibincangkan itu kurang berat, komunikasi bersama warga emas mungkin tidak akan tercapai.
Penghormatan
Komunikasi bersama warga emas menitikberatkan kesabaran yang tinggi. Penghormatan amat perlu bagi kelangsungan komunikasi yang berkesan. Warga emas juga adalah individu yang mudah tersinggung dan agak sensitif. Menzahirkan rasa hormat dapat membuatkan mereka berasa lebih selesa dan berkeyakinan bila berkomunikasi dengan kita.
KOMUNIKASI dengan ibu bapa perlukan kesabaran tinggi untuk elak mereka berkecil hati.
Mendengar, melayan dan menerima
Berkomunikasi tidak bermakna kita harus bercakap. Adakala kita hanya perlu menjadi pendengar yang baik bagi mereka meluahkan isi dan luahan emosi. Berkongsi emosi dengan mereka boleh menjadi komunikasi yang aktif. Warga emas yang kurang bersosial disebabkan faktor kesihatan tidak mengizinkan mahupun rakan yang semakin kurang, membuatkan mereka ini memerlukan seseorang untuk duduk bersama bagi mendengar dan melayan mereka.
Mesyuarat ringkas
Konflik boleh berlaku di mana sahaja. Manusia mempunyai pendirian dan gaya hidup masing-masing menyebabkan ketidakpuasan selalu terjadi. Walaupun begitu, semua itu bergantung kepada individu itu sendiri dalam menyelesaikan konflik.
Mesyuarat ataupun perbincangan ringkas bersama ibu bapa pada setiap minggu ataupun dua kali dalam sebulan digalakkan untuk mengelakkan konflik di samping membuka komunikasi antara ibu bapa dan anak yang menetap di bawah satu bumbung.
Mesyuarat ringkas ini juga membolehkan semua ahli keluarga berpeluang meluahkan pendapat dan pandangan masing-masing dalam suasana damai dan terkawal.
Umur
Semasa berkomunikasi dengan warga emas, kita mestilah peka dan prihatin dengan umur mereka. Kadang kala kita terlupa bahawa jurang generasi adalah faktor berlakunya komunikasi kurang berkesan. Semasa berkomunikasi dengan mereka, kita perlu memastikan apa yang hendak disampaikan adalah sama dengan apa yang diterima.
Elakkan perkataanyang terlalu teknikal sehingga mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan. Gunakan teknik lukisan, lakaran, perbuatan mahupun tindakan yang tidak mengganggu emosi ibu bapa dalam berkomunikasi agar ia dapat membuka minda mereka untuk memahami maksud yang hendak kita disampaikan.
ELAKKAN ketegangan ketika berkomunikasi dengan menjaga tutur kata.
Penglihatan dan pendengaran
Apabila bercakap mengenai warga emas, kita sedia maklum bahawa mereka ini ada masalah penglihatan dan pendengaran. Oleh itu, ia menjadi halangan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan bersama mereka. Kesabaran adalah nilai utama dalam menjadikan komunikasi dengan ibu bapa warga emas ini ceria dan memberikan manfaat kepada mereka.
Berkomunikasi dengan warga emas menjadikan kita lebih peka dan prihatin dengan mereka. Kita harus menerima hakikat yang mereka tidak lagi sekuat orang muda. Untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan dan baik, kita haruslah lebih bersedia, bersabar dan sanggup menyesuaikan diri berdasarkan keadaan dan faktor kesihatan mereka.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|