View: 1658|Reply: 14
|
Menguruskan nikmat 'makhluk ' Allah yang tertua ...Air ...
[Copy link]
|
|
Edited by mbhcsf at 24-1-2017 02:45 AM
BAYAN LINNAS
BAYAN LINNAS SIRI KE-83: AIR: NIKMAT YANG PERLU DIURUS
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 23 Januari 2017
sumber pautan asal :
http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1380-bayan-linnas-siri-ke-83-air-nikmat-yang-perlu-diurus
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengenalan
Air merupakan nadi kehidupan yang teramat penting dalam keselesaan hidup ini. Peri pentingnya air terbukti melalui keperluan yang didambakan oleh manusia daripada perkara asas seperti keperluan air tawar bagi kegunaan harian dan aktiviti pertanian serta perusahaan; sektor pertanian adalah pengguna terbanyak pada kadar 62% diikuti oleh perusahaan 21% dan domestik 17%. Air juga penting bagi alam sekitar sebagai sokongan kepada proses biologi dan untuk menstabilkan suhu global[1].
Sumber bekalan air tawar berasal dari kawasan tadahan air termasuk sungai, tasik dan takungan. Namun begitu, permintaan ke atas sumber air semakin meningkat selaras dengan perkembangan pesat populasi manusia menjadikan kekurangan air sebagai salah satu cabaran utama di kebanyakan negara. |
|
|
|
|
|
|
|
Air Adalah Anugerah
Firman Allah SWT:
أَأَنتُمْ أَنزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنزِلُونَ. أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ
Maksudnya: Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
(Surah al-Waqi’ah: 68-70)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Beritahulah kepada-Ku wahai manusia tentang air tawar yang kamu minum, adakah kamu yang menurunkannya dari awan yang ada di atasmu ke permukaan bumi, atau adakah Kami yang menurunkannya untukmu.” Lihat Tafsir al-Maraghi (14/6809)
Nas ini jelas menunjukkan betapa air yang menjadi nadi kehidupan merupakan anegerah Tuhan yang menurunkannya dari langit dan menerbitkannya daripada bumi. Ini bertujuan supaya air diuruskan dengan sebaiknya dalam melayari bahtera kehidupan agar manfaat tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin. Selain daripada tujuan minuman kita sendiri begitu juga haiwan kita dan siraman pohon kayu serta membersih anggota badan dengan cara mandi atau basuh dan pakaian serta tempat tinggal dan alat-alatan kita.
Benarlah firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً ۖ لَّكُم مِّنْهُ شَرَابٌ وَمِنْهُ شَجَرٌ فِيهِ تُسِيمُونَ. يُنبِتُ لَكُم بِهِ الزَّرْعَ وَالزَّيْتُونَ وَالنَّخِيلَ وَالْأَعْنَابَ وَمِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ ۗإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
(Surah al-Nahl: 10-11)
Dengan sebab itu hendaklah kita syukuri nikmat Allah yang mengurniakan air kepada kita sama ada untuk minum atau sebarang keperluan yang lain.
Mengikut riwayat yang masyhur daripada Abu Jaafar RA, bahawa Nabi SAW apabila meminum air akan berdoa:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي سَقَانَا عَذْبًا فُرَاتًا بِرَحْمَتِهِ، وَلَمْ يَجْعَلْهُ مِلْحًا أُجَاجًا بِذُنُوبِنَا
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberi minum kepada kami daripada air tawar lagi menyegarkan dengan rahmat-Nya, sebaliknya dia tidak menjadikannya sebagai air masin lagi pahit dengan sebab dosa-dosa kami.” Lihat Hilyah al-Auliya’ (8/145) |
|
|
|
|
|
|
|
Peperangan Disebabkan Air
Semua mengetahui bahawa air sangat penting bagi kelangsungan hidup. Bahkan PBB telah menetapkan Hari Air Sedunia yang jatuh pada setiap 22 March. Air tercacat dalam sejarah sebagai penyebab kepada beberapa konflik di dunia. Sebagaimana perang saudara yang berlaku di Chad, Darfur (Sudan), Gurun Pasir Ogaden (Ethiopia) dan Somalia.
Hal yang sama juga berlaku di Yaman, Iraq, Pakistan dan Afghanistan, yang semuanya berada di daratan tandus. Kekurangan air menyebabkan tidak dapat memungut hasil sawah dan ladang, haiwan perikanan, kemiskinan melampau, dan sebagainya. Negara-negara arab di Timur Tengah kebanyakkannya akan mengimport air bersih daripada negara-negara lain.
Keadaan ini menyebabkan pemerintah kehilangan kestabilan dan kehormatan, kerana tidak mampu menunaikan permintaan daripada rakyat, yakni air bersih dan keperluan pertanian. Keadaan ini juga diambil kesempatan oleh kumpulan pelampau, mereka melakukan pengkaderan dan melancarkan tekanan ketenteraan. Kalangan ahli politik, diplomat, dan pegawai tertinggi tentera di negara-negara yang berkecamuk dengan konflik biasanya menggunakan krisis air untuk melancarkan tekanan politik dan ketenteraan.[2]
Setelah Singapura memisahkan diri dari Malaysia pada 1965, Singapura menyedari bahawa ada masalah besar: iaitu tiada pemilikan air yang bersih sepertimana Malaysia. Inilah hakikat kepentingan air hingga menjadi salah satu faktor penyebab kepada konflik di Timur Tengah. Bahkan, Singapura, sebagai negara yang dianggap maju dalam pembangunan negaranya telah mengimport air bersih dari Malaysia hingga sekarang. Peningkatan pertumbuhan penduduk, faktor iklim dan eksploitasi alam, memberi tanda bahawa krisis air tidak akan hilang. |
|
|
|
|
|
|
|
Krisis Air
Krisis air merujuk kepada status sumber air relatif kepada permintaan manusia sejak tahun 1970-an kepada masa kini[3]. Istilah "krisis air" digunakan di seluruh dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menunjukkan situasi sumber air mentah ketika ini. Aspek utama krisis air adalah kekurangan sumber air yang boleh digunakan dan pencemaran air.
Dunia kita mempunyai air bersih yang terhad yang tersimpan di dalam tanah, permukaan bumi dan atmosfera. Masyarakat umum kadangkala tersalah anggap bahawa lautan adalah sumber air sedia ada tetapi mereka tidak memahami jumlah tenaga yang diperlukan untuk menukar air masin kepada air bersih masih lagi sesuatu yang tidak begitu mudah dilakukan. Kerana inilah hanya sedikit sahaja bekalan air bersih yang diambil dari proses penyahmasinan[4]. |
|
|
|
|
|
|
|
Krisis Air Di Malaysia
Malaysia bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak. Kedudukannya di garisan Khatulistiwa memberikannya hujan sepanjang tahun berjumlah lebih dari 2,000 mm setahun sementara di kawasan pantai timur pula purata sebanyak 5,000 mm. Selain itu Malaysia dirahmati dengan lebih dari 150 buah sungai yang merupakan sumber air mentah utama. Walau bagaimanapun terdapat beberapa krisis air yang berlaku seperti:
Krisis air di Lembah Kelang 1998
Krisis air di Durian Tunggal, Melaka pada tahun 1991
Beberapa siri tumpahan minyak diesel ke dalam sungai yang menyebabkan bekalan air terganggu.
Mutaakhir ini beberapa gangguan dan krisis air juga berlaku. Ini membimbangkan kita kerana kehidupan kita rakyat Malaysia yang sifat rumah mereka sama ada apartment, flat, dan bangunan menyukarkan kehidupan tatkala berlakunya krisis air. Ini kerana terpaksa mengangkut air dan menaiki bangunan yang tinggi mengikut kedudukan tingkat yang mereka diami. |
|
|
|
|
|
|
|
Beberapa Manifestasi Utama Dari Krisis Air
Antaranya:
Kekurangan bekalan air minuman yang selamat kepada lebih kurang 1.1 bilion manusia.
Penggunaan air bawah tanah yang boleh menyebabkan kekurangan hasil pertanian[5].
Penggunaan berlebihan dan pencemaran sumber air yang mengganggu kepelbagaian bio.
Konflik serantau yang diakibatkan oleh sumber air yang terhad yang boleh menyebabkan perang.
Penyakit yang dibawa oleh air dan ketiadaan sanitari adalah salah satu punca utama kematian di dunia. Untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, penyakit yang dibawa oleh air adalah penyebab utama kematian. Separuh dari pesakit di hospital adalah disebabkan oleh penyakit dibawa oleh air[6]. Mengikut Bank Dunia, 88 peratus dari penyakit disebabkan oleh meminum air yang tidak bersih, kekurangan sanitasi dan kurang penjagaan kebersihan [7].
Pada mulanya manifestasi dari krisis air tidak begitu teruk tetapi tahap populasi manusia yang semakin bertambah pada abad ke-20 mengurangkan kuantiti air bersih. Ini diburukkan lagi dengan kemarau yang mengganggu keseimbangan bekalan air bersih. |
|
|
|
|
|
|
|
Pembaziran Air
Sedar atau tidak banyak kali air dibazirkan tanpa kita endahkan kepentingan penjimatannya, sebagai contoh apabila kita mengambil wudu’ air yang jatuh tanpa penggunaan lebih banyak daripada kita gunakan untuk berwudu’. Benarlah hadis Rasulullah SAW:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ: مَا هَذَا السَّرَفُ يَا سَعْدُ؟ قَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ سَرَفٌ؟ قَالَ: نَعَمْ، وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهْرٍ جَارٍ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW lalu berhampiran Sa’d yang sedang berwudu’ seraya berkata: “Apakah ini pembaziran wahai Sa’d? Jawab Sa’d: “Apakah dalam berwudu’ ada pembaziran? Sabda Baginda: “Ia. Sekalipun kamu berada dalam sungai yang mengalir airnya.”
Riwayat Ahmad (6768) dan Ibn Majah (419)
Benarlah firman Allah SWT:
وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: Dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
Berlebihan-lebihan bermaksud melampaui had kesederhanaan yang biasa. Dan hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهُ سَيَكُونُ فِى هَذِهِ الأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِى الطُّهُورِ وَالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Akan ada di kalangan umatku golongan yang melampau ketika bersuci dan berdoa.”
Riwayat Abu Daud (96)
Antara bentuk pembaziran ialah sistem mengepam tandas yang ada membazirkan air sehingga 3 hingga 4 liter air bersih. Ini mungkin hampir 30-40 peratus daripada air yang digunakan setiap hari. Jika anda dapat menjimatkan 50 peratus daripada penggunaan itu, anda boleh menjimatkan 20 peratus daripada penggunaan air anda.
Begitu juga kami nyatakan bentuk-bentuk pembaziran yang lain:
- Membuka pili dengan tidak memanfaatkan air tersebut.
- Membasuh pinggan mangkuk dengan air yang bersekala besar dibuka.
- Membasuh kereta dengan jumlah air yang teramat maksimum.
- Mandi yang berlamaan dalam tandas.
|
|
|
|
|
|
|
|
Menguruskan Nikmat Air
Allah sengaja menjadikan muka bumi ini lebih ¾ merangkumi air. Semuanya menandakan air sebagai jambatan untuk meneruskan sebuah kehidupan yang harmoni dan selesa. Kami nyatakan di sini beberapa nas yang menunjukkan kepentingan air yang wajib diuruskan dengan sebaik mungkin.
Sabda Nabi SAW:
الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ: فِي الْمَاءِ وَالْكَلَأِ، وَالنَّارِ
Maksudnya: “Muslim berkongsi dalam tiga perkara, iaitu air, padang ragut dan api.”
Hadis Riwayat Abu Daud (3477) dan Ibn Majah (2472)
Begitu juga terdapat hadis yang lain berkenaan kemurkaan Allah SWT kepada yang menghalang daripada memberi lebihan air kepada manusia, sabda Nabi SAW:
مَنْ مَنَعَ فَضْلَ مَائِهِ، أَوْ فَضْلَ كَلَئِهِ مَنَعَهُ اللهُ فَضْلَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melarang manusia dari kelebihan air yang dia miliki atau dari sisa tanaman rumput liar miliknya, maka Allah akan melarang (menghalanginya) dari anugerah-Nya di hari kiamat.”
Hadis Riwayat Ahmad (7177)
Justeru keperluan kita ialah menguruskan air dengan sebaik mungkin adalah satu tanggungjawab yang perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin. Dengan berlakunya gangguan bekalan air, maka sudah barang tentu akan menyebabkan kehidupan seseorang atau sebuah keluarga tidak tentu dan tertekan sekiranya air terputus dalam satu tempoh dan jangka masa yang panjang. Sudah tentu akan menyebabkan pengguna tidak mungkin dapat bersabar sebaliknya perasaan amarah akan membuak-buak. Kami berpendapat adalah amat wajar isu air menjadi salah satu isu yang perlu diangkat menjadi isu utama dalam kehidupan ini. |
|
|
|
|
|
|
|
Kaedah penyelesaian masalah air, antaranya:
Menurut RMK-9, keutamaan akan diberikan bagi pembangunan penyaluran air antara negeri dan antara lembangan bagi mengatasi masalah kekurangan air dan agihan sumber air yang tidak serata dalam negara. Salah satu projek yang kini menjadi polemik terutamanya di kalangan aktivis alam sekitar ialah Projek Penyaluran Air Mentah Antara Negeri dari Pahang ke Selangor (Pahang-Selangor ISRWT). Pembinaan projek ini dijadual dilaksanakan dalam tempoh RMK9 (2006-2010).
Sebagai satu lagi langkah untuk menampung keperluan air masa depan negara, terdapat juga cadangan untuk membina 47 empangan baru. Kos pembinaan empangan-empangan tersebut, projek-projek air antara negeri serta projek sumber air yang lain dijangka mencecah angka RM52 bilion!
Justeru kerjasama yang erat antara pihak yang terbabit sama ada kerajaan pusat atau negeri dengan bermatlamatkan keuntungan kepada rakyat serta memberi sejumlah besar faedah dan maslahah kepada mereka sudah barang tentu menatijahkan keputusan yang terbaik untuk rakyat dan warganegara. |
|
|
|
|
|
|
|
Peranan kerajaan
Mengekalkan kawasan tadahan hujan. Penebangan kawasan hutan mestilah dielakkan lebih kurang 10 kilometer dari kawasan tadahan hujan. Hutan merupakan salah satu ekosistem penting kerana ia mengandungi lebih 60 peratus kepelbagaian hayat dunia. Kepentingan hutan meliputi fungsi ekologi dari segi perlindungan tanah dan lembangan, ekonomi, kepada "Peparu Bumi" kerana tanaman hijau menyerap karbon dioksida sewaktu proses fotosintesis dan melepaskan oksigen ke atmosfera. Hutan juga menjadi kawasan tadahan air yang berfungsi antaranya sebagai kawalan banjir.
Malangnya, penyahhutanan hutan tanah tinggi yang berleluasa sekarang bukan sahaja membinasakan alam semula jadi tetapi juga memusnahkan "hutan awan" (cloud forest) yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber air yang berharga[8]. Membinasakan hutan bukit boleh menyebabkan kehilangan sumber air yang banyak kerana tanpa pokok, sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga proses hujan berlaku. Dan tanpa kawasan hutan yang tebal, apa sahaja lembapan yang ada di atmosfera akan terdedah kepada sistem angin yang akan membawa lembapan itu ke tempat lain dan melepaskannya ke laut. |
|
|
|
|
|
|
|
Berjimat cermat
Berjimat cermat dalam menguruskan sesuatu perkara yang di nilai di sisi Syara’ dan sosio masyarakat sebagai daruriyyat atau keperluan hidup. Air merupakan perkara keperluan hidup tanpanya manusia akan merana. Pentingnya penjimatan penggunaan air serta mempromosi peranti penjimatan air yang pernah dibincang tetapi tidak dilaksanakan secara besar-besaran.
Catuan air
Catuan air hendaklah dilakukan oleh pihak kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga dan langkah rancangan backup kepada masalah ketiadaan air yang menimpa rakyat. Di samping itu juga rakyat juga perlu mengamalkan konsep catuan untuk lebih meringankan tanggungjawab kerajaan.
Kempen kesedaran
Kempen kesedaran melalui media massa oleh pihak berwajib, dan kempen masyarakat madani dalam menjaga dan menguruskan air sebagai keperluan hidup. Sehingga kini air tidak diberi nilai ekonominya yang sebenar dan ini menyebabkan orang tidak teragak-agak daripada membazirkannya. Kecuali kita menyedari nilai sebenar air, kita tidak akan ada insentif untuk menjimatkan penggunaannya. |
|
|
|
|
|
|
|
Pengagihan Air Secara Sistematik dan Tersusun
Pihak yang berwajib seharusnya bersedia dalam apa jua keadaan sekiranya berlaku masalah air secara tiba-tiba. Membaiki dan menyelenggara paip atau pusat tadahan air sekiranya pusat tadahan dicemari. Pengagihan secara tersusun kepada rakyat sekiranya berlaku masalah ketiadaan air. Air hendaklah diagihkan kepada semua tempat yang memerlukan. Culaan penduduk di setiap tempat hendaklah dibuat atau bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara mengenai jumlah penduduk sesuatu tempat atau daerah, supaya pihak berwajib dapat mengjangka jumlah dan kuantiti air yang perlu diagihkan untuk mengelak daripada pembaziran dan keberkesanan proses pengagihan air yang perlu disediakan mengikut jumlah penduduk.
Semoga krisis air tidak akan berlaku lagi di negara kita dan berharap agar kehidupan kita sentiasa tenang dan harmoni.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan |
|
|
|
|
|
|
|
_______________________________
[1] Lihat http://www.utusan.com.my/rencana ... kehidupan-1.208802.
[2] Jeffrey D. Sachs adalah Profesor Ekonomi dan Direktur Earth Institute dari Universiti Columbia. Artikel ini diambil di laman Project Syndicate, 2009 (www.project-syndicate.org).
[3] Ron Nielsen, The little green handbook, Picador, New York (2006) ISBN 0-312-42581-3.
[4] World Energy Outlook 2005: Middle East and North Africa Insights, International Energy Agency, Paris (2005).
[5] Water is Life - Groundwater drawdown.
[6] WaterPartners International: Learn about the Water Crisis.
[7] All About: Water and Health, CNN, 18 Disember 2007.
[8] Melati Mohd Arif,"Khazanah hutan jangan dipunggah", Bernama, sempena Hari Hutan Sedunia, 21 Mac dan Hari Air Sedunia, 22 Mac. |
|
|
|
|
|
|
|
Subhanallah....
AIR adalah NADI KEHIDUPAN di atas muka bumi ini...
semoga zuriat keturunan kita menjadi pengurus-pengurus air yang bertakwa dan beramal soleh untuk kemaslahatan semua kehidupan di atas muka bumi ini... Inshaa Allah, Aaamiin...
|
|
|
|
|
|
|
| |
|