salah 1 perkongsian dari ustaz wan tu
SAKA RIMAU VS SAKA SINGA Dihubungi oleh seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Pn H. Memohon bantuan akan masalah suaminya yang telah diganggu dengan saka rimau. Temujanji dibuat dan pada hari yang dijanjikan mereka hadir. Berikut antara dialog yang berlaku : Sang faqir : Ok, boleh saya tahu masalah sebenar? Pn H : Suami saya ada saka rimau, ustaz. Nak minta ustaz tolong buang. Dah pergi ramai ustaz tapi saka tu degil, hilang sekejap datang balik. Macam-macam dah cuba, tapi masih tak menjadi. Sang faqir : (Mengalihkan pada pandangan Encik Y) Apa yang jadi En Y? Encik Y : Entahlah ustaz, saya sendiri pun tak tahu apa yang jadi. Tiba-tiba saja semua nie jadi. (Encik Y menjawab ringkas) Sang faqir : Ooo, jadinya sebelum nie, tiada apa-apalah ye? Sebenarnya apa yang buatkan Encik Y dikatakan ada saka rimau ya? Pn H : Sebelum ini tidak jadi apa-apa ustaz. Dalam 4-5 bulan nie, tiba-tiba menjadi dan semakin menjadi-jadi sekarang. Asal malam sahaja, mesti bunyi mendengus macam harimau, then dia buat tangan macam harimau, sekarang nie, siap dengan gaya-gaya harimau keluar. Kalau kejutkan dia, dia sedar semula, tapi tak lama, selang 2-3 jam jadi balik. Sang faqir : Ohh, berat tu… Encik Y bertugas sebagai apa ya? Encik Y : Saya guru, ustaz. Di sekolah kebangsaan ********. Sang faqir : Ok, Pn H bekerja juga? Pn H : Bekerja juga, ustaz. Saya Managing Director di syarikat ******. Sang faqir : Oh begitu... Macam nielah Encik Y, Pn H. Masalah nie mudah saja nak selesai. Pn H : Macam mana tu ustaz? (Pn H bersungguh-sungguh, namun
Encik Y seakan-akan tiada perasaan) Saya sekarang dah takut nak tidur bersama dengan suami saya. Kadang-kadang kalau berdua-duaan dengan dia pun, timbul seram sejuk. Sang faqir : Mudah saja Pn. Begini, Encik Y teruskan saja niatnya hendak bernikah seorang lagi dan Pn H kena redha, insyaALLAH saka rimau akan hilang dari badannya, Encik Y akan kembali normal macam biasa. Pn H : Apa maksud ustaz? Saya tak faham. Sang faqir : Begini Pn H, Encik Y ada minta hendak bernikah lain tak dengan Pn H? Samada selepas balik dari majlis reunion sekolah, ataupun selepas Encik Y pulang dari kursus panjang. Pn H : (Termenung seketika) Memang dia minta hendak nikah lain ustaz, dalam lebih kurang 7-8 bulan lepas. Memang kami ada gaduh besar, lepas tu dia dah tak minta, lepas daripada itu, yang jadi masalah saka nie, saya syak perempuan yang dia nak nikahkan tu yang hantar saka, tak bagi kami bahagia. Sang faqir : Tak elok tuduh orang Pn H. Encik Y, rasanya sudah cukup lakonan Encik Y, letih berlakon tengah-tengah malam nie, esoknya nak kerja mengajar orang lagi. Pn H : Apa semua nie ustaz? Saya masih tak faham. Berlakon? (Wajah Encik Y kemerah-merahan dan keresahan). Sang faqir : Ya Pn H, Encik Y berlakon, pasal hendak bagi Pn H rasa takut, dan selepas itu Pn H redha Encik Y nikah seorang lagi. Pn H : (Mengalihkan pandangannya pada Encik Y) Betul ke nie Awak? Betul ke awak berlakon? Awak tahu tak saya macam orang gila takut dengan awak. Encik Y : Sabar sayang, abang buat macam tu memang nak bagi sayang takut, bukan semata-mata nak menikah lain saja.
Sang faqir : Ermm, Encik dan Pn perlukan privasi ke? Saya tinggalkan sebentar ya. Pn H : Takpe ustaz, tak perlu, kita selesaikan sekarang juga. Jiwa saya terseksa dengan sikap dia. Sang faqir : Sabar Pn H, sebenarnya yang paling terseksa di sini adalah Encik Y. Pn H terseksa sikit saja, terseksa pasal takut dengan saka rimau dia. Tapi Encik Y terseksa dengan saka singa. Pn H : Saka singa apa pula ustaz? Jangan main-main ustaz, nie benda serius. Sang faqir : Saya tak main-main, saya serius. Pn H : Maksud ustaz? Sang faqir : Begini Pn H, boleh saya tahu Pn H balik ke rumah dari pejabat, jam berapa selalu? Pn H : Kalau hari biasa, selalunya pukul 8 atau 9 malam saya balik. Sang faqir : Pergi kerja pukul berapa? Pn H : Macam biasa ustaz, sebelum subuh kena siap dah. Lepas subuh keluar, nak elak jem. Sang faqir : Ok, itu hari biasa. Kalau hari luar biasa? Maksud saya, kalau outstation atau sebarang tugasan luar, macam mana? Pn H : Oo, kalau saya ada meeting atau conference di luar kawasan, selalunya seminggu jugalah. Tapi apa kena mengena hal kerja saya dengan semua nie? Sang faqir : Sabar, belum habis. Saya yakin Pn H dah lebih dari 15 tahun bekerja dengan cara begitu kan? Pn H : Saya bekerja dah hampir 17 tahun di situ. Sang faqir : Encik Y, boleh saya tahu berapa usia pernikahan
Encik Y dan Pn H? Encik Y : Kami dah bernikah hampir 9 tahun. Sang faqir : Maaf tanya, bagaimana dengan zuriat? Encik Y : Tiada ustaz. Sang faqir : Encik dan Puan tidak mencuba ke? Encik Y : Hmm entahlah ustaz. Ustaz tanyalah isteri saya, dia lebih tahu. Pn H : Kita pula yang dia alih. Kami bukan tidak mencuba ustaz, tapi masalahnya saya sibuk dengan urusan kerja, macam-macam perlu diuruskan. Sang faqir : Ooo, jadinya hubungan di rumah sekadar Hai, hello, macam tu saja? Betul tak? Encik Y? Encik Y : Lebih kurang begitulah, ustaz. (Menunduk wajahnya terpandang air jernih terbit di penjuru matanya) Sang faqir : Sebenarnya Pn H, saka rimau Encik Y tu muncul dah lama, cuma saka tu sekarang tidak bertahan, itu yang jadi tidak terkawal. Pn H, pernikahan adalah suatu ikatan rohani dan ikatan akal, bukan semata-mata ikatan jasmani. Saya faham tugas Pn H sebagai Managing Director, banyak hal perlu fikir. Tapi apabila bergelar isteri, Pn juga managing director kepada jiwa suami Pn, kepada akal suami Pn, kepada jasmani suami Pn, yang mana Pn perlu uruskan semua hal tersebut. Itu tugas seorang isteri yang memang sudah tiada takwilan lagi, mudah ceritanya, MELAYANI SUAMI. Kesunyian seorang lelaki adalah sama bahaya dengan kesunyian seorang wanita. Encik Y ada terasa dengan Pn H tak? Encik Y : Terasa tu memang ada. Tapi setiap hari saya maafkan dia, ustaz. Pasal saya tahu yang dia tidak tahu. Setiap malam waktu dia tidur, saya pandang wajah keletihan dia, saya hendak usap, urut dan belai tubuhnya yang letih, tapi setiap kali itulah niat saya disalah ertikan, umpama saya hendak minta seks dari dia. Saya ditolak dan tidak dibenarkan sentuh dia waktu tidur. Saya tiada teman hendak bercerita, sampailah saya bertemu dengan seorang rakan sejawatan juga, yang selalu buat saya lega, untuk saya bercerita hal-hal yang saya suka. Sebab itu saya hendak bernikah dengan kawan tu, tapi dalam masa yang sama, saya sangat sayang isteri saya nie ustaz. Saya pun dah buntu, sebab itu saya terpaksa berlakon. Sang faqir : Encik Y pernah ceritakan tak atau luahkan semua ini pada isteri tak? Encik Y : Usahkan hendak cerita ustaz, kalau dia balik ke rumah, perkara pertama dia buat adalah mandi, selepas mandi, dia akan bersiap-siap hendak tidur, dan itulah waktu yang paling pantang untuk sesiapa usik dia. Saya hormat, saya akur, pasal saya sayangkan dia. Sang faqir : Pn H dah dengar kan? Jadi, tidak perlu saya hurai lebih-lebih. Cuma, saya hendak tambah sedikit sahaja, wanita amat mudah masuk syurga dan senang juga masuk neraka. Mudah masuk syurga dengan buat 3 perkara, Taat pada perintah ALLAH, ikut pada ajaran Rasul dan setia serta taat pada Suami sebaik-baiknya, selagi ianya tidak melanggar perintah ALLAH dan ajaran RasulULLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Namun, yang juga jadi senang masuk neraka, apabila wanita itu Taat pada perintah ALLAH, ikut ajaran Rasul, namun tidak mendapat keredhaan dari suami. Kena hati-hati Pn. Sekurang-kurangnya sebelum tidur, jika terlampau letih sekalipun, latih diri, cium tangan suami, mohon keredhaan dari suami, keredhaan dari suami adalah suatu keberkatan dalam pekerjaan seorang isteri, juga kelapangan dalam kehidupan di akhirat kelak. Pn H : Saya faham ustaz. InsyaALLAH, saya cuba ubah. (Sambil tangannya memegang erat tangan Encik Y) Sesi tersebut tamat beberapa ketika selepas itu. Mereka pulang dengan riak wajah yang begitu ceria sekali kedua-duanya, sambil bergelak ketawa. 2 bulan selepas itu, Encik Y menghubungi sang faqir, memaklumkan isterinya Pn H sudah hamil 2 minggu, dan mengucapkan terima kasih kerana menguraikan masalah mereka. Kepada suami isteri di luar sana. Berhati-hatilah dalam mencari ahkam (orang tengah) dalam permasalahan rumah tangga kalian. Langkah pertama yang silap akan membawa kepada kesilapan pada langkah seterusnya jika ianya hanya dengan ikut tanpa faham. Suatu perkongsian untuk perhatian bersama. Wassalam.
|