GEORGETOWN - Sebutir bom udara jenis Arial dijumpai di sebuah tapak pembinaan, Jalan Barnett hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata bom sepanjang 86sm dengan garis pusat 70sm itu akan diletupkan di lokasi sama ia dijumpai.
"Bom yang telah berkarat itu ditemui pekerja tapak projek ketika mereka sedang mengorek tanah di kawasan berkenaan pada pukul 11.45 pagi," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata bom itu dipercayai digugurkan dari kapal terbang pada zaman Jepun dan tertimbus ke dalam tanah.
Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) digegaskan ke lokasi kejadian dan penduduk terlibat diminta mengosongkan kawasan berhampiran lokasi bom itu akan diletupkan.
"Kita sedang menunggu keputusan daripada pakar yang akan menjalankan kerja ini dan mungkin bom terbabit akan diletupkan dengan cara mengambusnya dalam tanah sebelum diletupkan," katanya.
Tinjauan sehingga pukul 6 petang mendapati pasukan keselamatan masih membuat persiapan untuk meletupkan bom itu menggunakan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini. - Bernama