Kerajaan telah memperkenalkan skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tetapi sering menjadi rungutan kerana masih tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 25 Mac — Malaysia boleh mencontohi negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura dalam membina lebih banyak rumah mampu milik untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, kata timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Dr Sukhdave Singh berkata di negara tersebut, sektor awam dan swasta bekerjasama dalam menyediakan rumah mampu milik.
“Komuniti perumahan perlu menyesuaikan dengan aliran dan kerajaan ternyata memainkan peranan dalam usaha untuk mewujudkan penawaran,” katanya kepada pemberita pada persidangan anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata terdapat ketidaksepadanan dalam penawaran perumahan berikutan kebanyakan rumah yang memasuki pasaran adalah rumah mewah.
Bagaimanapun, katanya, terdapat banyak permintaan untuk rumah mampu milik.
BNM, dalam Laporan Tahunan 2015 yang dikeluarkan semalam menganggarkan sebanyak 202,571 rumah baharu diperlukan setiap tahun dari 2016 hingga 2020, iaitu kira-kira 2.5 kali bilangan rumah yang dibina setiap tahun dalam tempoh lima tahun lepas.
Ia turut mencadangkan banyak pemaju perumahan mampu milik di negara ini perlu disatukan dan kerajaan juga perlu melihat kepada pasaran sewa kediaman. — Bernama