Sambutan ulang tahun ke-37 penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin lebih bermakna apabila dia mendapat tawaran mengadakan konsert sempena dua dekad pembabitannya dalam dunia seni tanah air.
Konsert percuma anjuran aplikasi muzik, Yonder Music Sdn Bhd itu diadakan khas buat peminatnya selama dua malam pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Plenari, KLCC, Kuala Lumpur.
“Konsert ini tidak ada dalam perancangan saya. Tambahan pula selepas keguguran tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika.
“Bagaimanapun, apabila Yonder Music menawarkan peluang ini, hati saya berbelah bahagi. Saya kemudian berbincang semula dengan suami. Jadi, saya tukar perancangan berehat selepas konsert,” katanya.
Menurut Siti, antara faktor dia menerima tawaran itu adalah kerana Yonder Music sudah kukuh dan dikenali di luar negara.
Malah, dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan termasuk Minggu Setiausaha.
“Kadang-kadang, rezeki datang tidak dijangka. Tawaran berkenaan sangat menarik terutama konsep persembahan.
“Memandangkan ia sebuah jenama antarabangsa, sudah tiba masanya saya bawa nama ke peringkat lebih tinggi. Sebelum ini peluang sudah ada, cuma belum ada rezeki,” katanya.
Menariknya konsert itu, peminat yang ingin mendapatkan tiket perlu melanggan aplikasi muzik Yonder menerusi perkhidmatan Celcom.
Memandangkan kapasiti dewan terhad pada satu masa, hanya 6,000 peminat bertuah dapat menyaksikan Siti beraksi.
“Saya sudah bersedia berdepan satu lagi cabaran baru dari segi susunan muzik. Konsep yang bakal ditampilkan jauh berbeza daripada konsert terdahulu.
“Pada malam itu nanti, terdapat tiga set muzik berbeza iaitu akustik, pop dan orkestra. Justeru, ia menuntut persiapan mental dan fizikal,” katanya.
Seperti biasa, konsert itu nanti bakal menampilkan penyanyi jemputan yang masih dalam perbincangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music Sdn Bhd Adam Kidron, pemilihan Siti adalah tepat berdasarkan pencapaian diraih sepanjang 20 tahun dalam gelanggang muzik tempatan.
“Kami menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam persembahan Siti. Bukan saja dari segi muzik, tetapi juga penampilan. Saya yakin dia mampu buat yang terbaik.
“Konsert ini bukan sekadar mahu meraikan Siti, tetapi juga peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini sekali gus membawa pengalaman baru kepada pelanggan Yonder Music,” katanya.
Menjelang konsert itu, Adam menyasarkan pertambahan pelanggan aplikasi 150,000 daripada jumlah sebelumnya sebanyak 100,000.
Siti dijangka menyanyikan 20 lagu sebagai simbolik dua dekad melakar nama sebagai penyanyi.
Berehat tiga bulan
Menurut Siti, konsert itu adalah hadiah istimewa buat peminatnya sempena ulang tahun kelahirannya pada 11 Januari lalu, sekali gus konsert terakhirnya sebelum berehat selama tiga bulan.
“Insya-Allah, selepas Aidilfitri saya akan aktif semula. Sepanjang berehat, saya mahu meluangkan masa bersama suami dan keluarga.
“Selain itu, saya merancang bercuti ke beberapa lokasi pilihan bersama suami dan kawan-kawan,” katanya.
Sambung Siti lagi, sepanjang tempoh itu dia cuba mencari masa merakamkan beberapa lagu bagi album terbaru.
“Untuk sesi rakaman di studio, ia tidak menjadi masalah. Cuma saya ingin berehat seketika daripada mengadakan persembahan pentas berskala besar.
“Insya-Allah, tahun ini saya akan tampil dengan album baru. Buat masa ini sudah ada dua lagu duet. Satu dari Indonesia bagi runut bunyi filem apabila saya bergandingan dengan Glen Fredly.
“Satu lagi lagu saya berduet dengan Malique. Namun, semuanya masih dalam proses perbincangan. Untuk lagu solo pula, belum ada lagi,” katanya.