Oleh Izzah Abbasy
Sebelum kita tahu jawapan untuk bubur Asyura paling sedap di negeri mana, kita ambil tahu dahulu mengenai asal usul bubur ini.
Adakah anda tahu bubur Asyura dibuat untuk tujuan apa? Dan kenapa ia mesti diadakan pada 10 Muharam atau sepanjang bulan Muharam?
10 Muharam adalah hari Asyura dan disambut setiap tahun Islam. Pada bulan Muharam inilah, umat Islam akan membuat bubur Asyura secara bergotong-royong di sekolah, kampung, pejabat mahupun sesama ahli keluarga.
Kisah Hari Asyura
Pertama
Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak.
Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
(Setakat ini, masih tiada penemuan dan sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan atsar. - Sumber Abu Anas Madani)
Sungguhpun begitu, ia sebenarnya mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.
Kedua
Memasak bubur Ayura ini secara berkawah-kawah ialah bersandarkan hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.
Hadis yang dimaksudkan ialah:
“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.
Apa itu bubur Asyura?
Bubur Asyura ialah sejenismakanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharam. Ada yang menyatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura.
Negeri mana 'power' buat bubur Asyura?
Setiap negeri dipercayai mempunyai kelainan ramuan dan cara masakannya. Seperti di negeri Pahang, Johor dan Kedah, bubur Asyura yang dimasak agak cair dan mempunyai kuah seakan bubur biasa. Namun, di Terengganu dan Kelantan pula, bubur Asyura yang dimasak pekat seperti dodol namun ia sangat lembut kerana menggunakan banyak ramuan daging dan rempah ratus.
Setakat ini, ramai yang menyatakan bahawa bubur Asyura Kelantan sangat sedap dan boleh bertahan berbulan-bulan jika berada dalam peti sejuk beku. Betul ke?
Ingat, bubur Asyura diadakan adalah untuk mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda dan merapatkan silaturrahim sesama umat Islam dengan berkongsi kesenangan. Jom, kongsikan pandangan dan resepi bubur Asyura di negeri anda ya! - CARI Infonet
Kredit Foto : Google
Sumber info : www.abuanasmadani.com
|