|
Mungkin ada yang berpendapat mereka tidak layak memberikan nasihat. Sedangkan perkahwinan mereka juga GAGAL. Sebenarnya keadaan itulah yang menjadikan mereka matang dan cukup sesuai untuk memberikan nasihat kepada anda yang mungkin mempunyai masalah dengan pasangan. Dalam perkahwinan, kekuatan mental adalah yang paling utama. Kita harus mampu menerima pasangan sama ada baik atau buruknya dia.
Berikut adalah lima nasihat paling klise dari pasangan yang bercerai; bagaimana untuk menjaga sesebuah perhubungan agar ‘damai’ sepanjang masa!
Kenal diri, sayangi diri
Nasihat ini rata-rata dipersetujui kebanyakan pasangan bercerai. Jika anda tidak mengenali dan menyayangi diri anda sepenuhnya, bagaimana mahu buat begitu pada orang lain? Tahukah anda, apabila hidup ‘sendiri’, kita lebih cenderung untuk fokus pada karier, kesihatan atau hanya menghabiskan masa untuk suka-suka. Semua itu mengajar anda untuk lebih memikirkan soal lain berbanding diri sendiri. Apabila sudah berkahwin, hal begitu tidak boleh menjadi keutamaan anda lagi. Kebanyakan orang melakukan kesilapan ini akan membuatkan hubungan bersama pasangan menjadi renggang.
Komunikasi cara selamat
Sekali terlanjur kata, ia tidak boleh ditarik balik. Komunikasi adalah kunci utama. Ada juga pasangan yang tidak tahu apa untuk disembangkan apabila duduk bersama. Itu satu masalah! Tidak salah untuk membuka cerita tentang kewangan, soal anak-anak, perancangan masa depan, malah berkongsi masalah di tempat kerja juga suatu perkara yang baik untuk dibualkan. Seandainya kalian tidak sependapat, seeloknya salah seorang menjadi penasihat sahaja. Dengan cara itu, ia dapat mengelak pertengkaran.
Jadi 'best buddy'
Hubungan baik sewaktu baru berkahwin (bulan madu misalnya), tidak akan kekal lama. Suasana romantis begitu sukar untuk dikekalkan. Tetapi, apabila anda menjadikan hubungan kalian seperti teman rapat, ia adalah yang terbaik. Kebanyakan perkahwinan yang berjaya adalah apabila anda dan dia dapat menjadi sahabat baik.
Remeh yang ‘bermakna’
Sesetengah orang berpendapat tidak perlulah dikenang perkara remeh dalam perhubungan. Sebenarnya perkara itulah yang kadang-kadang dapat menyelamatkan situasi tegang. Sebagai contoh, insiden pasangan anda terjatuh ketika sedang berjalan dengan anda. Bukankah mengingati perkara itu, mampu buat anda tersenyum? Atau tidak salah jika secara tiba-tiba anda hantarkan SMS padanya mengatakan betapa anda sayangkan dia.
Jangan berhenti ‘bersama’
Inilah nasihat paling utama! Usah sesekali berhenti melakukan hubungan seks. Ketika ia dilakukan, anda akan lebih mengenali pasangan anda. Sebenarnya, setiap perbincangan yang paling sukar pun boleh diselesaikan ketika ini. Sesekali, perbahrui teknik anda untuk seks lebih berkualiti dan tidak membosankan.

pesonapengantin-
|
|